Ahli Parlimen bebas blok baharu politik negara

Ahli Parlimen bebas blok baharu politik negara

BUKIT GANTANG: Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal meramalkan kemunculan blok baharu wakil rakyat bebas sebagai gelombang ketiga dalam politik negara.

Menurut beliau, perpecahan dalam beberapa parti politik utama serta pertambahan jumlah Ahli Parlimen bebas, membuka ruang kepada pembentukan satu kumpulan yang tidak lagi terikat dengan kepentingan parti.

“Kalau siapa yang mahu berkhidmat, boleh bersama dengan saya.

“Kita jadikan third wave’ atau gelombang ketiga. Bebas ini maksudnya tidak terikat dengan mana-mana parti,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada majlis berbuka puasa bersama mahasiswa di Pusat Khidmat beliau di Bukit Gantang hari ini.

Katanya, budaya politik yang terlalu bergantung kepada parti menyebabkan wakil rakyat terpaksa akur kepada kepimpinan demi mendapatkan watikah untuk bertanding dalam pilihan raya.

Katanya, ini sekaligus mengehadkan kebebasan mereka dalam membawa suara rakyat.

“Keadaan itu berbeza jika seseorang calon bertanding atas tiket bebas kerana mereka tidak terikat dengan struktur dan disiplin parti yang kadang kala menyukarkan proses membuat keputusan demi kepentingan pengundi.

“Sekarang rakyat bukan lagi melihat parti semata-mata. Rakyat melihat kepada calon dan perkhidmatan yang diberikan. Kalau orang itu beri khidmat yang baik, rakyat akan nilai berdasarkan itu,” katanya.

Mengulas mengenai perpecahan dalaman parti politik, beliau menyifatkan senario tersebut sebagai realiti semasa yang menyumbang kepada perubahan persepsi rakyat terhadap sistem kepartian.

“Dulu calon bebas memang sukar mendapat tempat. Tetapi sekarang keadaan sudah berubah.

“Rakyat melihat apa yang berlaku dalam parti dan mereka semakin terbuka untuk menilai calon berdasarkan prestasi dan khidmat,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top