Gabenor California tuntut bayaran balik selepas Mahkamah AS batalkan tarif Trump

Gabenor California tuntut bayaran balik selepas Mahkamah AS batalkan tarif Trump

SACRAMENTO – Gabenor California Gavin Newsom pada Jumaat menuntut Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump memulangkan semula bayaran bersama faedah kepada semua pihak yang terjejas oleh tarif beliau, selepas Mahkamah Agung AS memutuskan bahawa tarif berkenaan adalah tidak sah, lapor Xinhua.

Dalam keputusan 6-3 pada Jumaat, Mahkamah Agung menyatakan bahawa dasar tarif di bawah Akta Kuasa Ekonomi Darurat Antarabangsa (IEEPA) adalah tidak mengikut perlembagaan, sekali gus membatalkan secara rasmi tarif yang diperkenalkan oleh Trump sejak April.

Pada April, Newsom dan Peguam Negara California Rob Bonta memfailkan saman dengan berhujah bahawa IEEPA tidak memberi kuasa untuk mengenakan levi berkenaan. Bonta berkata pada ketika itu bahawa tarif tersebut dijangka menyebabkan California kerugian AS$25 bilion (RM117.5 bilion) dan melenyapkan 64,000 pekerjaan.

Newsom berkata keputusan itu mengesahkan apa yang telah dihujahkan oleh beliau sejak awal lagi. Dalam satu kenyataan, beliau menyelar Trump secara langsung: “Tiba masanya untuk membayar harganya, Donald. Tarif ini tidak lebih daripada rampasan wang secara haram yang meningkatkan harga dan membebankan keluarga pekerja, semata-mata supaya anda boleh merosakkan pakatan yang telah lama terjalin dan memeras mereka. Setiap dolar yang diambil secara tidak sah mesti dipulangkan segera – bersama faedah. Bayar balik!”

Dalam satu hantaran di X, pejabat akhbar Newsom berkata, “Sudah kami katakan! Tarif Trump adalah tidak sah sejak hari pertama – satu cukai yang tidak mengikut perlembagaan, dan kini ia sudah tamat. Bilakah Trump akan memulangkan kepada rakyat Amerika wang sebanyak AS$1,700 (RM7,990) yang dikenakan cukai secara haram ke atas mereka?”

Laporan Universiti Yale yang dipetik oleh pejabat beliau mendapati bahawa tarif berkenaan telah membebankan purata keluarga di AS sebanyak AS$1,751 9RM8,229) pada tahun lepas. – Bernama

 

 

Ringkasan AI

  • Gabenor California Gavin Newsom menuntut Presiden AS Donald Trump memulangkan semula bayaran dan faedah kepada terjejas oleh tarif tidak sah
  • Mahkamah Agung AS memutuskan tarif di bawah Akta Kuasa Ekonomi Darurat Antarabangsa adalah tidak mengikut perlembagaan
  • Tarif yang Trump kenakan dijangka menyebabkan California rugi US$25 bilion dan kehilangan 64,000 pekerjaan
  • Newsom mengkritik Trump secara langsung, menyatakan tarif sebagai rampasan wang yang membebankan keluarga pekerja
  • Laporan Universiti Yale mendapati tarif membebankan purata keluarga AS sebanyak US$1,751 pada tahun lepas
Scroll to Top