Ringgit dibuka tinggi pada RM3.87 berbanding dolar AS

Ringgit dibuka tinggi pada RM3.87 berbanding dolar AS
Ringgit dibuka tinggi pada RM3.87 berbanding dolar AS

Ringgit meneruskan peningkatan dibuka lebih tinggi berbanding dolar AS. Gambar hiasan

RINGGIT meneruskan peningkatan untuk dibuka lebih tinggi pada Selasa dengan pasaran pertukaran asing dilihat sebahagian besarnya mengambil kira data makroekonomi Malaysia yang memberangsangkan serta perkembangan tarif baru-baru ini.

Pada jam 8 pagi, ringgit mengukuh kepada 3.8790/9010 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) daripada paras 3.8885/8925 ketika ditutup pada Isnin.

Kali terakhir unit tempatan ini mencapai paras ini adalah pada 13 April, 2018, pada 3.8785/8815.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit naik 0.31 peratus berbanding dolar AS sejak Isnin, apabila dolar AS menembusi paras psikologi RM3.90 susulan keputusan Mahkamah Agung AS Jumaat lepas.

“Ketika ini, paras sokongan untuk ringgit berbanding dolar AS adalah pada RM3.8722. Kami berpendapat bahawa pasaran pertukaran asing telah menilai data makroekonomi positif Malaysia serta perkembangan tarif baru-baru ini.

“Oleh itu, kami menjangkakan ringgit akan diniagakan tidak berubah dalam jangka masa terdekat,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata ketidakpastian terhadap dasar perdagangan AS bersama-sama dengan perkembangan geopolitik berkaitan dengan rundingan antara AS dan Iran yang dijadualkan pada Khamis ini akan terus membentuk sentimen pasaran.

“Rundingan AS-Iran dan peningkatan aset ketenteraan AS di Timur Tengah telah menyebabkan minyak mentah Brent berada di atas AS$70 setong dalam sejak beberapa hari lepas.

“Peniaga akan memantau perkembangan geopolitik dengan teliti kerana tarikh akhir 10 hingga 15 hari ditetapkan oleh Presiden AS Donald Trump untuk memuktamadkan rundingan nuklear boleh mengganggu sentimen pasaran,” katanya.

Pada pembukaan, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama lain.

Mata wang tempatan naik berbanding yen Jepun kepada 2.5076/5220 daripada 2.5120/5147 ketika ditutup pada Isnin, meningkat berbanding euro kepada 4.5745/6004 daripada 4.5888/5935 dan menokok berbanding pound Britain kepada 5.2347/2644 daripada 5.2526/2580.

Ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang ASEAN.

Ia melonjak berbanding dolar Singapura kepada 3.0633/0809 daripada 3.0727/0761, mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.5177/5969 daripada 12.5342/5532, menambah berbanding rupiah Indonesia kepada 230.8/232.2 daripada 231.4/231.7 dan naik berbanding peso Filipina kepada 6.73/6.78 daripada 6.75/6.76 sebelum itu. – Bernama

Ringkasan AI

  • Ringgit meneruskan peningkatan dibuka lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat
  • Kali terakhir nilai ini dicapai pada 13 April, 2018
  • Ringgit naik 0.31 peratus berbanding dolar AS sejak Isnin
  • Pasaran pertukaran asing menilai data makroekonomi positif Malaysia
  • Ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama lain dan mata wang ASEAN
Scroll to Top