am@hmetro.com.my
Jerantut :Ramadan membawa limpahan rezeki buat seorang pekebun nanas apabila jualan buah segar yang diusahakan meningkat mendadak sehingga mencecah RM1,000 sehari.
Zainul Ismail, 66, berkata, dia mampu menjual kira-kira 200 kilogram nanas sehari, bersamaan hampir 150 biji terutama pada minggu awal Ramadan berikutan permintaan tinggi daripada pelanggan tetap dan peniaga.
“Sebiji nanas beratnya antara dua hingga 2.5 kilogram dan saya jual pada harga RM6 sekilogram. Alhamdulillah, bila permintaan meningkat, pendapatan harian boleh mencecah kira-kira RM1,000 sehari.
“Bagi jualan borong pula, saya tawarkan RM250 bagi satu bakul seberat 60 kilogram,” katanya ketika ditemui semalam.
Menurutnya, tempahan bukan sahaja datang dari pasaran tempatan, malah turut diterima dari Kelantan, Kuala Lumpur dan Kuantan, sekali gus membuktikan hasil tanamannya mendapat sambutan di luar daerah.
“Saya akui belum mampu memenuhi sepenuhnya permintaan semasa kerana pengeluaran bergantung kepada musim dan tahap kematangan buah,” katanya.
Mengusahakan kebun seluas enam hektar, Zainul berkata tanaman nanas mengambil masa kira-kira setahun dua bulan untuk matang dengan nilai keseluruhan projek dianggarkan sekitar RM160,000.
Beliau kini memberi tumpuan kepada nanas klon MD2 yang terkenal dengan rasa manis dan tekstur rangup, selain menanam kira-kira 1,000 pokok nanas jenis MS16.
“Nanas MD2 ini orang panggil nenas’manis leting’, memang rangup dan sangat digemari pelanggan.
“Permintaan tinggi khususnya menjelang musim perayaan dan sepanjang Ramadan membuktikan pertanian masih berpotensi besar menjana pendapatan lumayan jika diusahakan secara konsisten dan terancang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




