am@hmetro.com.my
Georgetown: Lelaki cedera parah ditetak sekumpulan individu yang menunggang motosikal di hadapan sebuah pusat beli-belah di Jalan Kelawai dekat sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada jam 8 pagi.
Katanya, siasatan polis mendapati mangsa adalah warga tempatan dan berusia 33 tahun.
“Mangsa cedera parah akibat ditetak sekumpulan lelaki dipercayai warga tempatan yang menunggang motosikal di hadapan lobi bangunan berkenaan.
“Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Abdul Rozak berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Katanya, polis sedang giat mengesan suspek yang bertanggungjawab.
“Sehubungan itu, orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kes diminta tampil bagi membantu siasatan,” katanya.
Terdahulu, video mengenai kejadian itu tular di media sosial memaparkan suspek melarikan diri dengan motosikal selepas menetak mangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




