Media Prima catat 75 peratus lonjakan untung bersih

Media Prima catat 75 peratus lonjakan untung bersih

kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Media Prima Berhad (Media Prima), kumpulan media bersepadu terbesar di Malaysia, mencatatkan lonjakan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak 75 peratus kepada RM10.4 juta bagi tempoh enam bulan berakhir 31 Disember 2025 (1HFY26), berbanding RM5.9 juta dalam tempoh sama tahun kewangan sebelumnya.

Peningkatan ketara itu disokong pertumbuhan kukuh hasil bukan pengiklanan serta pelaksanaan pengurusan kos yang lebih cekap.

Hasil kumpulan meningkat kepada RM403.5 juta, dipacu pertumbuhan berterusan segmen bukan pengiklanan yang mencatat kenaikan 14 peratus.

Prestasi itu turut disumbang peningkatan 85 peratus hasil jualan kandungan kepada RM10.3 juta, selain pertumbuhan 17 peratus segmen beli-belah dari rumah.

Bagi suku kedua tahun kewangan 2026 (2QFY26), Media Prima merekodkan PAT sebanyak RM8.8 juta, meningkat 94 peratus berbanding RM4.5 juta dalam suku sama tahun sebelumnya, dengan hasil keseluruhan berjumlah RM204.6 juta.

Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid berkata, prestasi itu mencerminkan daya tahan kumpulan dalam persekitaran operasi yang mencabar.

“Lonjakan 94 peratus keuntungan bagi suku kedua membuktikan asas perniagaan kumpulan kekal kukuh.

“Lembaga Pengarah akan terus menekankan tadbir urus berhemah, disiplin operasi serta hala tuju strategik yang jelas bagi memastikan kumpulan kekal relevan dan berdaya saing,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Datuk Rafiq Razali berkata, peningkatan keuntungan berkenaan didorong keberkesanan fokus strategik terhadap kecekapan operasi serta kepelbagaian sumber hasil.

“Pertumbuhan segmen bukan pengiklanan, khususnya jualan kandungan dan prestasi stabil beli-belah dari tumah, membuktikan kejayaan model perniagaan baharu yang lebih mampan,” katanya.

Dalam aspek tanggungjawab sosial korporat, Media Prima menyalurkan lebih RM550,000 hasil sumbangan orang ramai melalui Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP pada 2QFY26 bagi menyokong rawatan perubatan, pembangunan komuniti dan bantuan bencana.

Melangkah ke hadapan, Media Prima akan terus memberi tumpuan kepada peningkatan kualiti kandungan, peluasan hasil premium dan digital, serta pengukuhan hubungan dengan audiens dan pengiklan bagi memastikan pertumbuhan mampan jangka panjang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top