Curi produk kecantikan untuk berniaga, ibu tunggal dipenjara sehari dan denda

Curi produk kecantikan untuk berniaga, ibu tunggal dipenjara sehari dan denda

am@hmetro.com.my

Melaka: Ibu tunggal dihukum penjara sehari dan denda RM900 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini kerana mencuri pelbagai jenis produk kecantikan kulit.

Majistret Uthman Abd Ghani menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh, Joyleen Low Mei Ling, 31.

Ibu kepada empat anak itu didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri sejumlah produk kecantikan kulit di Watsons, Batu Berendam, di sini pada 5.30 petang, 4 Februari lalu.

Terdahulu, peguam Goh Chin Han merayu anak guamnya dikenakan denda minimum mengambil kira Low adalah ibu tunggal yang mengurus empat anak berusia antara lapan dan empat tahun.

Katanya, tertuduh bercerai tahun lalu dan tidak dibantu dari segi kewangan oleh bekas suami, selain gagal mendapat kerja hingga mencuri bagi mendapatkan modal memulakan perkhidmatan kecantikan untuk menyara anak.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara bermula dari tarikh sabitan hari ini dan Low boleh dipenjara 21 hari jika gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top