Penyokong yakin TFC berpeluang duduki tangga ketiga Liga Super

Penyokong yakin TFC berpeluang duduki tangga ketiga Liga Super

sukan@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) yang kini menghuni tangga kelima Liga Super masih berpeluang menamatkan saingan di kedudukan ketiga terbaik.

Perkara itu ditegaskan Presiden Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu FC, Mohd Isa Che Ariffin yang melihat peluang buat skuad kendalian pemangku ketua jurulatih, Tengku Hazman Raja Hassan itu masih terbuka luas.

Bagaimanapun, jelas Mohd Isa, pencapaian itu dengan syarat TFC merangkul semaksimum mungkin mata bagi baki tujuh perlawanan selepas ini.

Katanya, pemain perlu memanfaatkan pertemuan dengan Kuala Lumpur City FC (KL City) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Jumaat ini, untuk mengutip mata penuh, selain membalas dendam kekalahan di suku akhir Piala Malaysia.

“Peluang TFC untuk menamatkan saingan liga sekurang-kurangnya di kelompok tiga terbaik kami lihat masih terbuka luas kerana perbezaan mata dengan pasukan di tangga keempat dan ketiga tidak jauh iaitu antara tiga hingga lima mata.

“Jika TFC tidak keciciran mata, kami percaya mampu melangkah lebih jauh lagi dalam saingan liga selepas saingan Piala Malaysia dan Piala FA sudah ‘terkubur’,” katanya.

Mohd Isa berkata, jika pemain terutama penyerang mampu menggalas tugas sebaik mungkin, TFC mampu tampil lebih berkualiti.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top