mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tiga ubi muda dari Pantai Timur mencipta langkah besar dalam karier bola sepak apabila dipilih menyertai akademi Levante UD yang berpengkalan di Valencia, Sepanyol, sekali gus membuka lembaran baharu buat pemain muda negara menimba pengalaman di pentas antarabangsa.
Pemain terbabit ialah Rain Tan Ye Hong, Ahmad Rayyan Danial Ahmad Imran dan Ahmad Nawfal yang berjaya menarik perhatian pencari bakat selepas mempamerkan aksi memberangsangkan.
Ye Hong dan Ahmad Rayyan adalah produk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Chengal di Kota Bharu yang semakin menyerlah dalam program pembangunan akar umbi di peringkat sekolah.
Ahmad Nawfal pula pelajar Sekolah Sukan Terengganu yang turut mencuri perhatian hasil potensi besar dimilikinya.
Ketiga-tiga pemain muda berkenaan sebelum ini dijemput menyertai sesi pemilihan bersama Levante UD di Bali, Indonesia pada tahun lalu.
Sesi pemilihan itu diadakan bermula 17 Oktober tahun lalu sempena kejohanan Bolasepak Antarabangsa IFC Bali 2025.
Peluang beraksi di kejohanan berkenaan dimanfaatkan sepenuhnya oleh ketiga-tiga pemain terbabit untuk membuktikan kemampuan masing-masing.
Usaha keras dan aksi konsisten yang dipamerkan akhirnya membuahkan hasil apabila mereka dipilih menyertai akademi kelab Sepanyol berkenaan.
Pemilihan itu membuktikan pemain muda negara memiliki potensi besar untuk diketengahkan di peringkat lebih tinggi.
Pada masa sama, ia menunjukkan bakat anak muda tempatan kini semakin mendapat perhatian akademi luar negara yang sentiasa mencari pemain berpotensi.
Ketiga-tiga pemain terbabit kini berusia antara 15 hingga 17 tahun dan berada pada fasa penting dalam pembangunan karier bola sepak mereka.
Mengikut rekod, akademi Levante UD turut terkenal sebagai platform pembangunan pemain berkualiti apabila beberapa pemain ternama dunia seperti Keylor Navas, Felipe Caicedo dan Jefferson Lerma pernah beraksi bersama kelab itu sebelum mencipta nama di pentas lebih besar.
© New Straits Times Press (M) Bhd




