Sukan Sea 2027 bakal catat sejarah anjur acara e-sukan terbanyak

Sukan Sea 2027 bakal catat sejarah anjur acara e-sukan terbanyak
Sukan Sea 2027 bakal catat sejarah anjur acara e-sukan terbanyak

Pasukan MLBB Wanita Malaysia menunjukkan pingat emas dimenangi mereka di Sukan SEA 2025 di Thailand. – Foto: Bernama

PERSEKUTUAN Sukan Elektronik Malaysia (MESF) dijangka mencadangkan lebih 10 judul permainan untuk dipertandingkan pada Sukan SEA 2027 dijadualkan berlangsung di Malaysia, sekali gus berpotensi mencipta sejarah menganjur acara e-sukan terbanyak.

Presiden MESF, Muhammad Naim Al Amin Saharudin berkata antara judul permainan yang tersenarai adalah acara tidak pernah dipertandingkan sebelum ini, iaitu simulator perlumbaan.

“Sudah tentu kali ini kami akan mencadangkan permainan-permainan baharu yang tak pernah dipertandingkan, antaranya e-racing simulator yang akan diketengahkan dan ada beberapa pingat daripada situ.

“Jadi saya boleh bagi petunjuk bahawa ada lebih daripada sepuluh judul permainan dan tentulah lebih daripada separuh adalah sasaran emas kami,” katanya.

Beliau berkata pemilihan acara dibuat menerusi perbincangan bersama penerbit permainan selain mengambil kira potensi sumbangan pingat emas kepada negara.

Pada masa sama, beliau berkata lokasi pertandingan di Sarawak telah dikenal pasti dan hasil lawatan tapak mendapati kemudahan sedia ada adalah baik dan mampu menampung keperluan penganjuran.

Sebagai rekod, Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam mencatatkan jumlah acara e-sukan terbanyak setakat ini apabila mempertandingkan lapan judul permainan yang menawarkan keseluruhan 10 pingat emas.

Pada edisi lepas di Thailand, kem negara meraih satu emas menerusi acara Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) wanita selain turut membawa pulang satu perak dalam MLBB lelaki ketika hanya empat judul permainan melibatkan keseluruhan enam acara dipertandingkan.

Dalam perkembangan berasingan, Muhammad Naim berkata Malaysia telah mengesahkan tempat dalam acara MLBB dan Honor of Kings (HOK) pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun yang dijadualkan bermula September depan.

Beliau berkata pusingan kelayakan bagi judul-judul permainan lain akan berlangsung secara berperingkat dari April hingga Julai manakala proses pemilihan atlet kebangsaan kini sedang dijalankan. – Bernama

Ringkasan AI

  • PERSEKUTUAN Sukan Elektronik Malaysia (MESF) bercadang mencadangkan lebih 10 judul permainan untuk Sukan SEA 2027
  • Antara judul yang dicadangkan termasuklah simulator perlumbaan yang belum pernah dipertandingkan sebelum ini
  • Sasaran MESF adalah lebih daripada separuh dari judul-judul yang dicadangkan adalah untuk meraih pingat emas
  • Lokasi pertandingan telah dikenal pasti di Sarawak dengan kemudahan yang baik untuk mengadakan acara tersebut
  • Malaysia telah mengesahkan tempat dalam acara Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) dan Honor of Kings (HOK) pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026
Scroll to Top