Washington: Seorang anggota polis berpangkat sarjan dipecat kerana menggunakan bingkai gambar untuk menahan kekunci komputer ribanya dan memberi gambaran palsu dia bekerja dari rumah.
Portal news.sky melaporkan, polis Avon dan Somerset berkata pegawai itu yang dirujuk sebagai Sarjan X, menggunakan muslihat itu kepada majoriti syif yang dia bekerja pada April dan Mei tahun lalu.
Pegawai itu mengaku menggunakan sudut bingkai untuk menahan kekunci supaya komputer ribanya tidak masuk ke mod tidur ketika tempoh cabaran dalam kehidupan peribadinya.
Siasatan dibuka selepas data yang digunakan oleh jabatan piawaian profesional pasukan itu menunjukkan ketukan kekunci pegawai itu secara ketara banyak.
Bukti lanjut mendapati bilangan ketukan kekunci adalah antara tiga dan lapan kali lebih banyak daripada rakan sekerja dalam peranan yang sama.
Sarjan X dipecat tanpa notis dan dihalang daripada polis dan agensi penguatkuasaan undang-undang lain selepas tingkah lakunya didapati sebagai salah laku yang teruk.
“Amat mengecewakan seorang pegawai berkelakuan dengan cara yang bukan saja boleh memburukkan pasukan polis namun juga menjejaskan keyakinan orang ramai berkenaan dengan tugas dan tanggungjawab kami.
“Kami tahu pegawai dan kakitangan berdepan tekanan yang besar dan beban kerja yang tinggi.
“Walaupun Sarjan X mempunyai beberapa keadaan yang meringankan, adalah tidak boleh diterima bagi seorang pegawai untuk bertindak dengan sengaja dan menipu serta menyalahgunakan kepercayaan yang diberikan kepadanya dengan menunjukkan bahawa dia bekerja sedangkan dia tidak,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




