Seorang wanita patah kaki, tujuh sesak nafas selepas inap desa disewa terbakar

Seorang wanita patah kaki, tujuh sesak nafas selepas inap desa disewa terbakar

am@hmetro.com.my

Georgetown: Seorang patah kaki kanan manakala tujuh lagi mengalami cedera ringan dan sesak nafas selepas inap desa yang mereka sewa di Solok Sungai Emas, Jalan Batu Feringghi di sini, terbakar hari ini.

Difahamkan, semua wanita yang berusia antara 31 dan 32 tahun itu menyelamatkan diri sebelum pasukan bomba tiba.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, panggilan diterima pihaknya pada jam 4.46 pagi.

Katanya, operasi penyelamatan membabitkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal diketuai Mohamad Rafizi Arafpin.

“Kejadian itu membabitkan kebakaran pada ruang tamu di rumah tiga tingkat yang dijadikan inap desa.

“Lapan wanita terbabit menyelamatkan diri sebelum pasukan penyelamat tiba di lokasi.

“Seorang daripadanya mengalami patah kaki kanan dan selebihnya sesak nafas serta luka ringan semasa menyelamatkan diri,” katanya di sini, hari ini.

John berkata, pasukan penyelamat yang berpakaian pelindung diri (PPE) melakukan ‘size up’ dan api berjaya dikawal pada jam 5.20 pagi.

“Kebakaran membabitkan sebanyak 20 peratus kemusnahan dan semua mangsa diberi rawatan awal oleh pasukan perubatan di lokasi sebelum dihantar ke hospital bagi rawatan lanjut.

“Difahamkan semua mangsa mempunyai hubungan sebagai rakan sekerja serta menginap di inap desa itu bagi menghadiri majlis perkahwinan rakan mereka dan dijangka mendaftar keluar hari ini,” katanya.

Operasi ditamatkan pada jam 6.26 pagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top