Ibu tiada di rumah ketika kebakaran ragut nyawa anak – Polis

Ibu tiada di rumah ketika kebakaran ragut nyawa anak – Polis

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Siasatan polis mendapati ibu kanak-kanak yang maut dalam kebakaran di PPR Kampung Muhibbah, Bukit Jalil, hari ini tiada di rumah ketika kejadian malang itu berlaku.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada 3.40 petang dan mengesahkan kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun.

“Siasatan dibuat mendedahkan semasa kejadian berlaku, mangsa berada di dalam rumah itu bersama lima adik-beradiknya berusia sekitar sembilan bulan hingga 10 tahun.

“Ibu mereka pula tiada di rumah didakwa ke kedai untuk membeli makanan.

“Jiran-jiran yang menyedari kebakaran bertindak membantu kesemua mangsa, namun gagal menyelamatkan kanak-kanak itu kerana terperangkap di dalam bilik tidur utama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611).

Terdahulu, Harian Metro melaporkan kanak-kanak lelaki berusia empat tahun ditemui rentung dalam kebakaran unit pangsapuri PPR Kampung Muhibbah, Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur dilapor menerima panggilan kecemasan kejadian pada 2.59 petang

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top