PKR gantung jawatan Fahmi Zainol, Rafizi kekal ahli

PKR gantung jawatan Fahmi Zainol, Rafizi kekal ahli

nurhanim.osman@bh.com.my

Kuala Lumpur: Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Fahmi Zainol yang didakwa atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya digantung serta-merta daripada semua jawatan PKR sehingga kes mahkamahnya selesai.

Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh berkata, perkara itu antara yang dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) hari ini.

“Fahmi Zainol digantung segala jawatan parti berkuat kuasa serta-merta.

“Berhubung jawatan beliau di Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya akan menghantar surat kepada Ketua Menteri (Chow Kon Yeow) dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Fuziah memaklumkan MPP turut membincangkan isu surat tunjuk sebab yang dihantar kepada Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli.

“Parti mengambil maklum bahawa beliau kekal sebagai anggota parti dan mengingatkan beliau agar sentiasa mematuhi perlembagaan, kod etika dan disiplin parti sebagai tanda beliau masih setia sebagai anggota parti,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, MPP memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membawa satu usul tergempar ke Dewan Rakyat pada esok untuk mengecam serangan kejam Israel dan sekutunya ke atas Iran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top