Anggota trafik direman 4 hari, disyaki terima rasuah RM30,000

Anggota trafik direman 4 hari, disyaki terima rasuah RM30,000

am@hmetro.com.my

Temerloh: Seorang anggota polis trafik direman empat hari, mulai hari ini bagi membantu siasatan kerana disyaki meminta dan menerima suapan RM30,000 daripada beberapa individu dan pemilik syarikat lori.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Nuur Fakhizaa Abu Bakar, selepas meneliti permohonan dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Temerloh, di sini, hari ini.

Difahamkan, suspek ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Cawangan Temerloh kira-kira jam 3.30 petang semalam.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 30-an terbabit disyaki menerima suapan itu sebagai balasan melindungi syarikat lori daripada dikenakan tindakan undang-undang.

“Siasatan awal mendapati suspek disyaki meminta dan menerima suapan itu antara 2024 dan 2025.

“Wang suapan itu percayai diterima daripada beberapa individu pemilik syarikat lori dan dimasukkan ke dalam akaun peribadi suspek,” katanya.

Pengarah SPRM Pahang, Mohd Shukor Mahmud, ketika dihubungi mengesahkan penahanan anggota polis terbabit.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top