mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Kementerian Luar Negeri (KLN) terus memantau perkembangan di Timur Tengah dan mengekalkan penyelarasan rapat dengan Perwakilan Diplomatik Malaysia di rantau yang terjejas.
KLN berkata, keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia kekal menjadi keutamaan utama.
“Rakyat Malaysia adalah dinasihatkan supaya menangguhkan semua perjalanan yang tidak penting ke Iran, Iraq, Jordan, Kuwait, Qatar, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu.
“Nasihat Perjalanan rasmi yang dikeluarkan oleh Kementerian kekal berkuat kuasa sehingga diberitahu kelak.
“Di Emiriah Arab Bersatu, operasi penerbangan diteruskan secara terhad dan tertakluk kepada pelarasan operasi,” katanya dalam kenyataan hari ini
Menurutnya, pihak berkuasa tempatan telah mengeluarkan panduan meminta hotel membenarkan tetamu yang terjejas akibat gangguan penerbangan untuk melanjutkan penginapan di bawah syarat tempahan asal serta memaklumkan pihak berkuasa sekiranya tetamu menghadapi kesukaran untuk menanggung kos.
“Kedutaan dan Konsulat Malaysia sedang memaklumkan panduan ini kepada rakyat Malaysia serta membantu mereka berurusan dengan pihak hotel sekiranya perlu.
“Rakyat Malaysia yang sudah berhubung dengan Perwakilan dilaporkan selamat.
“Di Arab Saudi, tumpuan kementerian kekal kepada jemaah umrah Malaysia yang terjejas akibat gangguan penerbangan komersial.
“Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah sudah mengaktifkan Bilik Operasi 24 jam dan terus menyelaras dengan pihak berkaitan bagi memastikan kebajikan jemaah terpelihara sementara libat urus dengan syarikat penerbangan diteruskan,” katanya.
Menurutnya, situasi membabitkan rakyat Malaysia di Lubnan, Qatar, Iraq, Jordan dan Syria terus dipantau rapi oleh Perwakilan masing-masing.
“Di Qatar, insiden terkini menyebabkan pihak berkuasa tempatan melaksanakan langkah berjaga-jaga, dan perkembangan di negara terbabit terus dipantau dengan teliti.
” Di Lubnan, rakyat Malaysia yang berdaftar dengan Perwakilan dilaporkan selamat, termasuk anggota Angkatan Tentera Malaysia yang berkhidmat di bawah Batalion Malaysia (MALBATT) bersama UNIFIL.
“Di Iraq, Jordan dan Syria, Perwakilan terus berhubung dengan rakyat Malaysia dan menyalurkan panduan konsular yang sewajarnya.
“Seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri di Parlimen, kementerian terus memantau perkembangan secara dekat dan mengekalkan langkah kesiapsiagaan sebagai sebahagian daripada perancangan kontingensi yang berhemah,” katanya.
Menurut KLN, sebarang keputusan pada masa hadapan akan dipandu oleh penilaian keselamatan berterusan yang dilaksanakan mengikut negara.
“Kementerian kini sedang mengemas kini rekod rakyat Malaysia di rantau yang terjejas, yang dianggarkan berjumlah kira-kira 29,000 orang.
“Bagi memudahkan komunikasi yang tepat dan penyampaian maklumat rasmi secara tepat pada masanya, rakyat Malaysia yang belum berbuat demikian adalah digalakkan untuk segera mendaftar melalui e-Konsular di https://ekonsular.kln.gov.my dan terus berhubung dengan Perwakilan Diplomatik Malaysia yang terdekat,” katanya.
Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular adalah digalakkan untuk menghubungi Perwakilan Diplomatik Malaysia masing-masing melalui nombor telefon dan alamat e-mel rasmi yang disediakan sebelum ini.
Bilik Operasi Kementerian di Putrajaya kekal diaktifkan sepenuhnya dan beroperasi 24 jam sehari, dan boleh dihubungi di talian +603-8887 4570 atau melalui e-mel dutyofficer@kln.gov.my sekiranya bantuan lanjut diperlukan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




