
Imej satelit dikeluarkan Vantor menunjukkan impak dua serangan ke atas titik akses menuju ke loji pengayaan uranium bawah tanah tersebut.
WASHINGTON – [DIKEMAS KINI] Imej satelit komersial telah merakamkan serangan pertama ke atas kemudahan nuklear Iran sejak operasi ketenteraan bersama dilancarkan Amerika Syarikat (AS) dan Israel pada akhir minggu lalu.
Institut untuk Sains dan Keselamatan Antarabangsa pada Isnin menganalisis imej dihasilkan oleh Vantor yang berpusat di Colorado menunjukkan impak bedilan ke atas titik akses loji pengayaan uranium bawah tanah di Natanz yang pernah dibom Washington pada Jun tahun lalu.
Bekas pemeriksa nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang juga pengasas institut itu, David Albright berkata, serangan itu dipercayai berlaku antara Ahad dan pagi Isnin.
Beliau bagaimanapun tidak dapat mengenal pasti sama ada AS atau Israel yang membedil kompleks berkenaan.
Penemuan itu menyokong kenyataan dibuat Wakil Iran ke Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Reza Najafi tentang serangan tersebut.
Ia, sekali gus menolak dakwaan dibuat Ketua IAEA, Rafael Grossi yang menafikan fasiliti tersebut diserang sekali lagi.
“Kemungkinan besar beliau menilai imej awal sebelum yang diperoleh kami. Imej Vantor menunjukkan tiga bangunan di Natanz musnah. Dua daripadanya ialah pintu masuk ke dewan bawah tanah yang menempatkan ribuan pengempar (mesin memperkaya uranium untuk dijadikan sumber tenaga atau senjata),” jelasnya lagi.
Walaupun dewan tersebut tidak lagi beroperasi akibat serangan tahun lalu, kempen pengeboman terbaharu itu membuktikan ia masih menjadi lokasi simpanan pengempar atau peralatan berkaitan program nuklear.
Ketika mesyuarat Lembaga Gabenaor 35 negara IAEA, Grossi dengan yakin menyatakan tiada sebarang petunjuk kemudahan nuklear di Teheran menjadi sasaran serangan. – Agensi
Ringkasan AI
- Imej satelit komersial merakam serangan pertama ke atas kemudahan nuklear Iran sejak operasi ketenteraan bersama AS dan Israel
- Institut untuk Sains dan Keselamatan Antarabangsa mendedahkan impak serangan ke atas loji pengayaan uranium bawah tanah Natanz
- Serangan itu dipercayai berlaku antara Ahad dan pagi Isnin tanpa pengesahan pelaku
- Penemuan mengesahkan kenyataan Wakil Iran tentang serangan, menolak dakwaan Ketua IAEA yang menafikan
- Imej menunjukkan tiga bangunan di Natanz musnah termasuk pintu masuk ke dewan pengempar uranium



