TEHRAN: Iran memberi amaran kepada negara Eropah supaya tidak menyertai konflik antara pihaknya dengan Israel-Amerika Syarikat (AS).
Amaran itu dikeluarkan selepas Jerman, Britain dan Perancis menyatakan mereka mungkin akan mengambil ‘tindakan defensif’ bagi memusnahkan kemampuan pelancaran peluru berpandu Iran.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei, menegaskan sekiranya ada yang berbuat sedemikian, ia akan dianggap sebagai tindakan perang terhadap Iran.
“Sebarang tindakan sedemikian terhadap Iran akan disifatkan sebagai bersubahat dengan pihak penceroboh.
“Ia akan dianggap sebagai tindakan perang terhadap Iran,” katanya pada sidang media, hari ini.
Sementara itu, tentera Iran mengumumkan pasukannya telah melancarkan serangan ke atas Israel dan sebuah pangkalan tentera AS di Qatar, hari ini.
Serangan terbabit berlaku ketika pergolakan semakin meruncing itu memasuki hari keempat.
Menurut tentera Iran dalam kenyataan disiarkan akhbar Shargh, serangan terbabit menyasarkan kawasan tentera rejim Zionis di wilayah yang diduduki serta pangkalan tentera AS di Al-Udeid, Qatar.
“Dron tempur pemusnah daripada pasukan tentera darat, udara serta laut menyasarkan kawasan tentera rejim Zionis di wilayah yang diduduki, dan pangkalan tentera Amerika di Al-Udeid,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




