Penang FC hampiri final Piala Cabaran

Penang FC hampiri final Piala Cabaran

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penang FC boleh dianggap sudah sebelah kaki untuk ke final Piala Cabaran apabila menewaskan Kelantan The Real Warriors (TRW) 5-2 dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, sebentar tadi.

Penang bermula garang apabila membuka tirai jaringan seawal minit kedua menerusi penyudah Stefano Brundo sebelum Douglas De Souza menambah gol kedua empat minit kemudian.

Skuad kendalian Wan Rohaimi Wan Ismail terus mendahului Kelantan TRW dengan lebih selesa apabila Jose Porteria menyumbat gol ketiga Harimau Kumbang pada minit ke-14.

Ketinggalan tiga gol, namun ia tidak mematahkan semangat anak buah Akmal Rizal Ahmad Rakhli apabila mereka berjaya merapatkan kedudukan menerusi jaringan Mohamad Azwan Mohd Aripin dan Muhammad Farris Izdiham Awang Kechik pada minit ke-22 dan 38.

Kelantan TRW bagaimanapun terlepas peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan apabila sepakan penalti yang diambil Albert Kang pada minit ke-67 berjaya diselamatkan penjaga gol Penang, Ramadhan Hamid.

Lebih malang buat TRW apabila Penang mendapat jaringan keempat pada minit ke-85 selepas Nur Shamie Iszuan Amin menyudahkan hantaran lintang Dylan Wenzel-Halls.

Tidak cukup dengan itu, Harimau Kumbang membawa pulang bekalan lebih selesa apabila Wenzel-Halls menyempurnakan sepakan penalti pada masa kecederaan selepas Nor Azam Abdul Azih menjatuhkan Muhammad Izzat Zikri Iziruddin.

Kedua-dua pasukan sekali lagi akan bertembung dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Bandaraya, 11 Mac ini bagi menentukan siapa yang akan mara ke final.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top