RUU had tempoh jawatan PM dibentang semula, harap MP kerajaan beri sokongan penuh -Fahmi

RUU had tempoh jawatan PM dibentang semula, harap MP kerajaan beri sokongan penuh -Fahmi

Kerajaan akan membentangkan semula Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun pada sidang Dewan Rakyat sekitar Jun depan.

Keputusan bawa semula RUU disetujui jemaah menteri

Memetik laporan daripada Kosmo! Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil menyatakan keputusan membawa semula RUU itu dibuat selepas dipersetujui dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

“Jemaah menteri telah membuat keputusan bahawa perkara tersebut akan dibawa semula dalam sidang mesyuarat yang berikutnya sekitar bulan Jun.
“Kita berharap dan akan berusaha untuk memastikan Ahli Parlimen kerajaan memberi sokongan penuh untuk hadir dan mengundi meluluskan pindaan Perlembagaan yang sangat penting ini,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Mungkin berlaku salah faham dalam kalangan pembangkang

Mengulas lanjut, Fahmi memaklumkan Jemaah Menteri turut menerima taklimat daripada Ketua Whip Kerajaan, Fadillah Yusof mengenai status lapan Ahli Parlimen kerajaan yang tidak mengundi.

Katanya, turut disentuh kemungkinan berlaku salah faham dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang berhubung pindaan tersebut.

“Jadi, kami telah maklumkan kepada Jemaah Menteri dan tidak tahu bagaimana pembangkang boleh salah faham.
“Seharusnya semua Ahli Parlimen memahami isu ini untuk memastikan tidak lagi berlaku keadaan di mana Perdana Menteri berasa bahawa beliau boleh melakukan apa sahaja kerana berkuasa sampai bila-bila.
“Jadi, saya harap pihak kerajaan dan pembangkang dapat memastikan pindaan Perlembagaan ini tidak bersifat partisan yang hanya menguntungkan demokrasi negara apabila diluluskan bersama,” katanya.

ruu

Artikel lain: Fahmi dedah 8 MP punca RUU had PM tak lulus, beri alasan di hospital, tersangkut jam

Isnin lalu, Dewan Rakyat tidak meluluskan RUU tersebut selepas gagal memperoleh sokongan dua pertiga apabila hanya 146 Ahli Parlimen menyokong, 32 tidak hadir manakala 44 berkecuali.

Scroll to Top