SEBAGAI inisiatif berterusan dalam memperkukuhkan penghayatan ibadah dalam kalangan warga kampus, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan Kursus Fahami Bacaan dalam Solat sepanjang tahun ini.
Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, program tersebut yang diadakan dalam beberapa siri itu akan memberi manfaat kepada lebih 2,000 kakitangan Islam universiti berkenaan.
Menurutnya, program tersebut selari dengan Aspirasi UPSI 3.0 yang menekankan pembetukan jiwa ketakwaan dan ia telah bermula sejak 26 Februari lalu.
“Siri pertama berlangsung selama dua hari melibatkan Jawatankuasa Pengurusan Universiti serta semua Ketua Pusat Tanggungjawab dengan fokus kepada pemahaman, penghayatan dan kesempurnaan bacaan dalam solat.
“Solat bukan sekadar kewajipan, tetapi teras pembinaan sahsiah, integriti dan etika kerja. Apabila makna bacaan difahami dan dihayati, ia membentuk disiplin dalaman yang akhirnya diterjemahkan dalam budaya kerja cemerlang,” katanya.
Beliau berkata, usaha sistematik melalui modul yang dibangunkan sendiri oleh kepakaran dalaman UPSI itu juga memperlihatkan keupayaan universiti mengintegrasikan ilmu, nilai dan amalan dalam ekosistem kampus.

MD AMIN (dua dari kiri) bersama warga UPSI ketika menyertai perbincangan dalam kumpulan semasa kursus fahami bacaan dalam solat di Masjid Al-Mursyidin, Kampus Sultan Azlan Shah UPSI.
“UPSI mahu melahirkan warga universiti yang bukan sahaja kompeten, tetapi memiliki jiwa ketakwaan yang menjadi panduan dalam setiap tindakan dan keputusan,” ujar beliau.
Sementara itu, Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman berkata penganjuran kursus tersebut merupakan sebahagian daripada agenda pembangunan modal insan universiti yang menekankan keseimbangan antara profesionalisme dan nilai spiritual.
“Pendekatan kursus yang menekankan elemen amali dan perbincangan kumpulan kecil membolehkan peserta bukan sahaja memahami teks bacaan, malah menghayati falsafah serta aplikasi nilai solat dalam kehidupan seharian dan tugasan rasmi.
“Kursus itu antara lain bertujuan membantu peserta memahami makna bacaan dalam solat sebagai asas pelaksanaan ibadah yang berkesan, menghayati falsafah solat dalam konteks tugas dan kehidupan serta memperoleh kesempurnaan solat,” katanya.
Pelaksanaannya merangkumi kaedah membaca zikir, doa dan ayat al-Quran dalam solat, memahami makna bacaan, menghayati makna dan falsafahnya serta latihan dalam kumpulan (amali) melalui perbincangan dalam kumpulan.

SUASANA ketika Kursus Fahami Bacaan dalam Solat di Masjid Al-Mursyidin, Kampus Sultan Azlan Shah UPSI.
Menurut Helmi, enam modul utama diperkenalkan iaitu Mukadimah dan Surah al-Fatihah; Takbiratul Ihram serta bacaan ketika rukuk, iktidal, sujud dan duduk antara dua sujud; Tahiyyat dan salam; Surah ad-Dhuha dan al-Insyirah; Surah al-Ikhlas, al-Falaq, al-Nas dan al-’Asr; serta doa-doa sebelum salam dan selepas solat.
“Modul-modul kursus dibangunkan oleh panel akademik dan tenaga pengajar UPSI merentasi fakulti dengan penglibatan Fakulti Sains Kemanusiaan, Fakulti Pembangunan Manusia, Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi serta Pusat Islam UPSI.
“Siri seterusnya akan diteruskan secara berperingkat dalam tahun ini bagi memastikan manfaat kursus dapat diperluas kepada seluruh kakitangan Islam universiti,” katanya.
Ringkasan AI
- Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan Kursus Fahami Bacaan dalam Solat sepanjang tahun ini sebagai inisiatif memperkukuhkan penghayatan ibadah
- Program tersebut bertujuan memberi manfaat kepada lebih 2,000 kakitangan Islam dengan mengadakan beberapa siri kursus
- Kursus ini selari dengan Aspirasi UPSI 3.0 untuk membentuk jiwa ketakwaan dan telah berlangsung sejak 26 Februari
- Kursus meliputi pemahaman, penghayatan bacaan dalam solat dan membentuk disiplin dalaman yang diterjemahkan dalam budaya kerja
- Enam modul utama diperkenalkan, merangkumi aspek-aspek solat dan doa, dengan penglibatan panel akademik dan tenaga pengajar UPSI merentasi fakulti



