Pembelaan Zizie Izette tutup kes subahat rasuah pelaburan unit amanah FELCRA

Pembelaan Zizie Izette tutup kes subahat rasuah pelaburan unit amanah FELCRA

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pembelaan mewakili Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad yang berdepan tiga tuduhan bersubahat dengan suaminya dalam kes rasuah membabitkan kelulusan FELCRA bagi pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual, menutup kes, hari ini.

Peguam bela Zizie Izette, Datuk K Kumaraendran memaklumkan kepada Mahkamah Sesyen, pihaknya menutup kes selepas anak guamnya selesai memberikan keterangan selaku saksi kedua pembelaan.

Pada 2 September lalu, suaminya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin yang berdepan tiga tuduhan membabitkan perkara sama, selesai memberikan keterangan bela diri.

Bagaimanapun, pada 16 Januari lalu, mahkamah membebaskan Allahyarham Bung Moktar daripada tuduhan rasuah berkenaan selepas pendakwaan tidak berhasrat meneruskan prosiding terhadap bekas Ahli Parlimen Kinabatangan itu yang meninggal dunia pada 5 Disember 2025.

Sehubungan itu, Hakim Rosli Ahmad menetapkan 18 Mei untuk mendengar hujahan lisan daripada kedua-dua belah pihak.

Hakim itu turut menetapkan pada atau sebelum 24 April ini untuk pihak pendakwaan memfailkan hujahan bertulis manakala 8 Mei untuk hujahan balas pihak pembelaan.

Mahkamah Rayuan pada 18 November 2024 memerintahkan Allahyarham Bung Moktar dan Zizie Izette membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah berkenaan selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap pembebasan pasangan itu yang diputuskan Mahkamah Tinggi pada 7 September 2023.

Pada 2 September 2022, Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob memerintahkan Bung Moktar dan Zizie Izette membela diri selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka di akhir kes pendakwaan.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Law Chin How dan Mohamad Fadhly Mohd Zamri manakala Zizie Izette diwakili turut diwakili peguam M Athimulan dan Ridha Abdah Subri.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top