Ezzanie Jasny trauma memandu selepas terbabit kemalangan teruk

Ezzanie Jasny trauma memandu selepas terbabit kemalangan teruk

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Petaling Jaya: “Saya memang fobia nak memandu (kereta). Sekarang ini pun saya tak memandu dan memang bagi PA (pembantu peribadi) sebab trauma.

“Kadang-kadang nak cakap yang kita sudah berhati-hati pun, tapi mungkin orang lain pula bawa kereta tidak selamat,” kata pelakon Ezzanie Jasny.

Ezzanie atau nama sebenarnya, Nur Ezzanie Sherazade Jasny, 27, baru-baru ini mengalami kemalangan jalan raya sehingga dimasukkan ke wad untuk rawatan.

Menurutnya, kemalangan berlaku di sekitar tempat tinggalnya dengan sangat pantas.

“Kecederaan yang saya alami agak teruk sebenarnya. Ayah saya mengalami ‘microsleep’, kita tak minta benda itu berlaku. Terlanggar kereta yang baru nak keluar dan kami pula baru nak sampai rumah.

“Saya tak sedarkan diri dan langsung tak ingat apa yang berlaku. Memori masa itu hilang kerana semuanya terjadi dengan sangat pantas.

“Keesokkan paginya baru saya tersedar, sedangkan malam itu semua orang yang ada termasuk doktor, jururawat dan kawan-kawan asyik kejutkan saya supaya tidak tidur, sebab kalau tidak saya mungkin boleh koma. Memang teruk sebenarnya,” katanya.

Ezzaniey berkata demikian ketika ditemui pada sidang media iklan raya ‘Bila’ dan majlis berbuka puasa LOL Entertainment, di sini, semalam.

Pelakon drama Dia Bukan Syurga ini bagaimanapun bersyukur kerana keadaannya semakin pulih, manakala kedua ibu bapanya dalam keadaan baik tanpa sebarang kecederaan serius.

“Alhamdulillah, pendarahan bukan di otak, tetapi di luar tengkorak. Tetapi saya mengalami bengkak di bahagian kepala hingga ke muka. Sekarang sudah beransur surut.

“Mungkin semasa kejadian saya terhentak cermin atau pada tali pinggang keledar. Sekarang parut sudah mula surut, cuma nampak satu garis di kepala sebelah dalam. Insya-Allah, parut itu tidak kekal,” katanya.

Katanya, doktor hanya menasihatkannya untuk hadir jika perlu untuk rawatan susulan, namun pada masa sama, dia kini menjalani fasa pemulihan.

“Doktor kata kalau perlu, datanglah sebab lepas tiga minggu daripada kemalangan itu saya ada juga kena datang ‘check up’, tapi sekarang sudah tak ada. Hanya fasa pemulihan sahaja.

“Alhamdulillah, keadaan makin baik. Saya pun dah mula (penggambaran) dua cerita, masuk set semula. Kaki pun masih bengkak.

“Kesan daripada kemalangan itu adalah macam sekarang ini, kalau nak tidur pun, saya ada rasa ‘vertigo’, macam pening, tapi Alhamdulillah, keadaan semakin baik dan pulih,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top