'Empayar' sindiket e-waste di Kapar tumpas

'Empayar' sindiket e-waste di Kapar tumpas

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang menumpaskan aktiviti pemprosesan sisa elektronik (e-waste) secara haram membabitkan nilai rampasan mencecah RM6 juta.

Komander PPM Wilayah Satu, Asisten Komisioner Jaffri Bidin berkata, kejayaan itu hasil serbuan dilakukan dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor di sebuah premis di kawasan Perindustrian Kapar Bestari, Kapar, Klang semalam.

Katanya, turut ditahan seorang lelaki tempatan berumur 26 tahun yang dipercayai bertindak sebagai penjaga premis berkenaan serta 38 orang pekerja warga asing yang gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri serta permit kerja yang sah.

“Hasil pemeriksaan di lokasi serbuan, pihak berkuasa merampas pelbagai bahan dan peralatan yang dipercayai digunakan untuk menjalankan aktiviti pemprosesan e-waste secara haram.

“Antara barang rampasan adalah tembaga seberat 120 tan; aluminium yang telah diproses (560 tan ) dan aluminium yang belum diproses (811 tan).

“Turut disita adalah enam jentera forklift; alat penimbang industri dan pelbagai mesin serta peralatan pengisar yang mana keseluruhan nilai rampasan dianggarkan mencecah RM6 juta,” katanya semalam.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati penjaga premis berkenaan juga gagal mengemukakan dokumen berkaitan bahan-bahan yang disimpan serta diproses di premis tersebut.

Katanya, kes disyaki melibatkan aktiviti pemprosesan sisa elektronik secara haram yang boleh memberi kesan kepada alam sekitar serta melanggar peruntukan undang-undang berkaitan.

“Kes akan dirujuk kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk tindakan lanjut di bawah undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top