Pelawak dan bekas penyampai radio, Jep Sepahtu, akhirnya membuka mulut menjawab persoalan berhubung hubungannya dengan dua rakan seperjuangan Shuib dan Mamat.
Kalau jumpa boleh bertegur
Screenshot
Menerusi klip video sesi siaran langsung di TikTok, Jep atau nama sebenarnya Mohd Nadzri Zainal Abidin menegaskan bahawa tiada sebarang konflik antara mereka.
“Saya tidak ada sebarang masalah dengan sesiapa. Bagi saya, saya tak pernah bergaduh atau bermasam muka dengan mereka. Cuma kami sekarang tiada urusan kerja bersama, jadi bila tidak berurusan itu tidak bermakna kami tidak berbaik.
“Saya pun tak pernah keluarkan kenyataan yang menyakitkan hati dan kalau ada yang pernah saya keluarkan cuma pembetulan mungkin ada yang tidak betul, saya pun ada hak juga untuk bercerita daripada pihak saya,” katanya.
Jep turut menjelaskan bahawa dia sentiasa terbuka untuk berjumpa dan meluangkan masa bersama Shuib dan Mamat jika ada peluang, kerana tidak wujud sebarang isu yang perlu diperbesarkan.

“Saya tidak pernah bergaduh dengan Shuib atau Mamat. Kalau jumpa, saya tiada masalah untuk bertegur, atau duduk minum bersama. Tak pernah pun terlintas nak berselisih faham sebab tiada sebarang faedah pun. Saya lebih suka suasana yang damai dan tenang,” jelasnya.
Menjawab persoalan tentang kenyataannya sebelum ini, Jep menafikan niat untuk mencetuskan pertikaian, sebaliknya hanya mahu menjelaskan perkara dari sudut pandangannya sendiri.
“Saya hanya buat satu kenyataan beriathu perkara yang tidak pernah dengar. Saya pun ada hak untuk beritahu kerana nama saya juga ada dalam cerita itu.
“Untuk saya tiada gaduh dan bermsam muka cuma memamng tiada urusan kerja. Bulan baik, dan hari baik ini lebih bagus untuk kita bermaafan. Saya diam sahaja kerana memang tiada isu,” ujarnya.
Screenshot
Walaupun begitu, Jep tetap merendah diri dengan memohon maaf sekiranya ada kesilapan dari pihaknya.
“Kalau saya ada terbuat salah, saya mohon maaf. Tak salah pun kalau kita yang mula meminta maaf terlebih dahulu. Itu bukan sesuatu yang memalukan,” tambahnya lagi.
Artikel lain:Sambut hari lahir, Jep Sepahtu kongsi hashtag #anaksyurga -“Akan aku jaga amanah ini”
Pada tahun 2024 lalu, kecoh di media sosial perdebatan netizen mengenai ahli kumpulan Sepah iaitu Jep, Shuib dan Mamat didakwa sudah tidak sehaluan.
Isu di antara mereka mula diperkatakan apabila Shuib dan Mamat berkongsi cerita bagaimana Sepah ditubuhkan menerusi temu bual dalam Dol’s Podcast.
Bagaimanapun Jep tampil dengan satu kenyataan memberitahu cerita dikongsi dalam sebuah podcast kebanyakan direka atau ditokok tambah.
Sumber: TikTok lanzazlan88




