SYDNEY – Israel menggesa Australia supaya ‘bangkit’ dan menyertai operasi ketenteraan terhadap Iran ketika konflik di Asia Barat memasuki hari ketujuh dan semakin meluas ke beberapa negara lain di rantau tersebut.
Timbalan Menteri Luar Israel, Sharren Haskel berkata, sudah tiba masanya Australia menyokong serangan yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran.
Menurutnya, peperangan itu kini semakin memuncak di pelbagai medan dan memerlukan sokongan sekutu antarabangsa.
“Perang kini semakin meningkat di semua barisan hadapan. Jadi mesej saya kepada Australia adalah supaya bangkit,” katanya dalam wawancara dengan rangkaian televisyen 7NEWS.
Beliau menambah Australia mempunyai sejarah panjang dalam mempertahankan kebebasan dan kemanusiaan dalam pelbagai konflik dunia, justeru negara itu diharapkan dapat berganding bahu dalam operasi ketenteraan tersebut.
Haskel turut menegaskan kebimbangan rakyat Australia mengenai kesan perang terhadap harga minyak, perdagangan, perjalanan dan keselamatan tidak seharusnya menjadi penghalang kepada penglibatan negara itu.
Dalam perkembangan sama, beliau turut memberi bayangan bahawa Israel mungkin menyasarkan Mojtaba Khamenei, anak kepada pemimpin tertinggi Iran yang terbunuh, Ayatollah Ali Khamenei, sekiranya beliau mengambil alih kepimpinan negara itu.
Sementara itu, konflik di Asia Barat terus melebar apabila beberapa negara turut terlibat secara tidak langsung dalam serangan balas antara Iran dan Israel.
Iran dilaporkan melancarkan peluru berpandu Khorramshahr-4 ke arah Israel yang menurut Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) dilengkapi kepala peledak seberat kira-kira satu tan dan berupaya membawa beberapa kepala peledak.
Kumpulan itu juga mendakwa telah melancarkan serangan terhadap sasaran di Bahrain, Kuwait dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Pada masa sama, Kementerian Pertahanan Qatar melaporkan satu serangan peluru berpandu berlaku berhampiran Doha dengan bunyi letupan kedengaran di beberapa kawasan ibu negara itu.
Qatar turut mengecam percubaan serangan peluru berpandu Iran terhadap Turkiye serta serangan dron ke atas sebuah lapangan terbang di Azerbaijan yang disifatkan sebagai peningkatan ketegangan yang berbahaya serta pelanggaran kedaulatan negara.
Kementerian Pertahanan Azerbaijan memaklumkan pihaknya sedang menyediakan tindak balas selepas dron yang didakwa milik Iran menyerang Lapangan Terbang Antarabangsa Nakhchivan.
Bagaimanapun, Iran menafikan melancarkan serangan dron terhadap Azerbaijan walaupun beberapa serangan peluru berpandu dan dron Iran sebelum ini dilaporkan mengenai sasaran awam termasuk kemudahan tenaga.
Di Emiriah Arab Bersatu pula, kementerian pertahanan negara itu memaklumkan pihaknya berjaya memintas enam peluru berpandu serta 131 dron pada Khamis, selain ratusan serangan lain sejak konflik bermula.
Dalam perkembangan berasingan, Sri Lanka mengesahkan kehadiran sebuah lagi kapal Iran di perairannya selepas sebuah kapal perang Iran dilaporkan ditenggelamkan oleh kapal selam AS berhampiran pantai negara itu.
Jurucakap kerajaan Sri Lanka berkata, pihaknya sedang mengambil langkah bagi meminimumkan kehilangan nyawa serta memastikan keamanan serantau terus terpelihara.
Sementara itu, Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth mengesahkan bahawa kapal selam Amerika telah menenggelamkan sebuah kapal perang Iran menggunakan torpedo di perairan antarabangsa, mengorbankan sekurang-kurangnya 87 kru dan mencederakan 32 yang lain. – Agensi
Ringkasan AI
- Israel menggesa Australia untuk menyertai operasi ketenteraan terhadap Iran bersama Amerika Syarikat
- Timbalan Menteri Luar Israel, Sharren Haskel, menegaskan perlunya sokongan sekutu antarabangsa dalam konflik yang semakin meningkat
- Haskel menyatakan kebimbangan Australia tentang kesan perang tidak seharusnya menghalang penglibatannya
- Konflik di Asia Barat meluas dengan beberapa negara terlibat secara tidak langsung dan Iran melancarkan peluru berpandu serta dron ke beberapa negara
- Amerika Syarikat telah menenggelamkan sebuah kapal perang Iran, mengakibatkan sekurang-kurangnya 87 kru terkorban



