am@hmetro.com.my
Putrajaya: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan masih belum menerima laporan Jawatankuasa Khas Siasatan berkaitan isu pemilikan saham membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.
Beliau bagaimanapun berkata, laporan daripada jawatankuasa diketuai Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar itu dijangka diterimanya hari ini.
“Itu yang saya tunggu, katanya hari ini. (Setakat ini) belum terima (laporan berkenaan),” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Ihya Ramadan Jabatan Perkhidmatan Awam di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, sebarang keputusan berhubung kes itu hanya akan dibuat selepas laporan terbabit diterima.
Kerajaan sebelum ini menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat segala dakwaan dan perkara berbangkit yang dikaitkan dengan Azam, susulan laporan Bloomberg yang mendakwa Azam memegang jutaan saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.
Bagaimanapun, Azam pada sidang medianya baru-baru ini menegaskan, pegangan saham miliknya bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan dibuat secara telus dan mengikut prosedur.
© New Straits Times Press (M) Bhd




