PUSAT beli-belah Aman Central tampil dengan konsep dekorasi Aidilfitri yang memukau menerusi tema Arabesque Luxe Raya, sekali gus menjadikan ruang atriumnya seakan-akan sebuah istana Timur Tengah yang penuh kemewahan.
Bermula 27 Februari hingga 29 Mac ini, ruang Central Atrium dihiasi dengan elemen seni Islam yang menggabungkan seni bina, tekstur, warna dan pencahayaan bagi mewujudkan suasana Ramadan serta Aidilfitri yang lebih bermakna kepada pengunjung.
Di tengah-tengah ruang berkenaan, sebuah pavilion yang dibina di atas platform mozek khas berwarna biru diraja dengan sentuhan emas menjadi tarikan utama, dikelilingi gerbang besar bercorak Arabesque dan hiasan bunga berwarna merah, magenta serta ungu diraja.
Penolong Pengurus Besar Komunikasi Pemasaran Aman Central, Ken Chin berkata, konsep Arabesque Luxe Raya diperkenalkan bagi mencipta pengalaman perayaan yang lebih istimewa buat komuniti setempat.
Menurutnya, konsep tersebut menampilkan keindahan seni Islam yang digabungkan dengan elemen kemewahan moden bagi mencerminkan semangat Ramadan dan Aidilfitri.
“Tahun ini kami mahu meningkatkan suasana sambutan Raya dengan konsep Arabesque yang lebih elegan yangFsk mana setiap elemen termasuk gerbang megah, motif rumit, candelier mewah dan hiasan bunga direka bagi mewujudkan suasana penuh kehangatan serta kebersamaan.
“Kami berharap pengunjung bukan sahaja datang membeli keperluan Aidilfitri, tetapi turut mencipta kenangan indah bersama keluarga dan rakan-rakan dalam suasana yang istimewa,” katanya pada pelancaran rasmi Arabesque Luxe Raya di sini pada Jumaat.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Abdul Gafar Yahya dan hadir sama Pengarah Urusan Belleview Group, Datuk Sonny Ho serta barisan pengurusan Aman Central.
Acara perasmian itu turut diserikan dengan letupan konfeti berwarna hijau dan emas sebagai simbolik pembukaan sambutan, sekali gus menandakan bermulanya kempen Ramadan dan Aidilfitri di pusat beli-belah tersebut.
Jelas Ken Chin, menambahkan lagi kemeriahan suasana, ruang atrium turut dihiasi dengan candelier berlapis yang digabungkan dengan struktur gerbang menjunam dari siling, seterusnya mewujudkan suasana seolah-olah berada di dalam sebuah istana mewah.
Menurutnya, sepanjang tempoh kempen tersebut, pengunjung juga berpeluang menikmati pelbagai aktiviti menarik termasuk persembahan kebudayaan, muzik tradisional, tarian serta bengkel interaktif.
“Pelbagai jenama fesyen dan produk Aidilfitri turut membuka jualan di ruang Central Atrium.
“Dengan gabungan seni bina Arabesque, hiasan bunga yang meriah serta pencahayaan yang memukau, dekorasi Arabesque Luxe Raya di Aman Central dijangka menjadi antara tarikan utama pengunjung sepanjang musim perayaan tahun ini,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Pusat beli-belah Aman Central memperkenalkan konsep dekorasi Arabesque Luxe Raya yang mewujudkan suasana seperti istana Timur Tengah
- Dekorasi merangkumi elemen seni Islam, seni bina, tekstur, warna, dan pencahayaan untuk merayakan Ramadan dan Aidilfitri
- Terdapat sebuah pavilion dengan platform mozek berwarna biru diraja dan sentuhan emas sebagai tarikan utama
- Konsep Arabesque Luxe Raya bertujuan untuk mencipta pengalaman perayaan yang istimewa dengan menampilan keindahan seni Islam dan kemewahan moden
- Pelbagai aktiviti menarik seperti persembahan kebudayaan, muzik tradisional, tarian dan bengkel interaktif disediakan untuk pengunjung sepanjang kempen



