Insomniacks mohon maaf isu MV Bersuara tiru kumpulan K-pop

Insomniacks mohon maaf isu MV Bersuara tiru kumpulan K-pop

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Vokalis kumpulan Insomniacks, Iqie tampil memohon maaf susulan dakwaan muzik video (MV) lagu terbaharu mereka, Bersuara mempunyai persamaan dengan MV lagu Beautiful Life nyanyian kumpulan rock Korea Selatan, Xdinary Heroes.

Isu terbabit mula tular selepas peminat muzik K-pop menyedari beberapa babak serta konsep visual dalam MV berkenaan dilihat seakan-akan ditiru daripada karya kumpulan rock itu.

Menerusi hantarannya di X, semalam, Iqie atau pemilik nama Syed Mir Iqbal mengakui terkejut dengan dakwaan itu dan menegaskan pihaknya akan mengadakan perbincangan dalaman bagi menyelesaikan kemelut yang berlaku.

“Serius sama? Ini memang tak okey. Sejujurnya, saya sendiri tak pernah menonton muzik video ‘Beautiful Life’ sebelum ini,” tulisnya.

Selain memahami kekecewaan peminat Xdinary Heroes, Iqie turut menghargai tindakan peminat setia mereka, Maniacks yang cuba mempertahankan kumpulannya, namun mengakui kesilapan terbabit tetap perlu diperbetulkan.

“Terima kasih kerana melindungi kami, tetapi apa yang kami lakukan adalah salah dan kami perlu bertanggungjawab. Terima kasih kerana menegur,” tulisnya.

Iqie berharap orang ramai tidak menyebarkan kebencian terhadap mana-mana individu yang terbabit dalam produksi MV terbabit.

“Kami benar-benar memohon maaf. Semua pihak telah bekerja keras untuk menghasilkan MV ini. Kami sendiri tak tahu bahawa kami sebenarnya meniru.

“Bagi pihak Insomniacks, saya harap semua dapat menerima permohonan maaf ini dan kami akan lakukan lebih baik pada masa akan datang,” tulisnya lagi.

Bagaimanapun, pemerhatian Harian Metro mendapati MV Bersuara nyanyian Insomniacks bersama penyanyi rap, Yonnyboii yang dimuat naik di Youtube beberapa hari lalu sudah diturunkan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top