Vincent Tan calon terbaik terajui FAM – Zulakbal

Vincent Tan calon terbaik terajui FAM – Zulakbal

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemerhati bola sepak, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim berpandangan sudah tiba masanya pintu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya dibuka kepada tokoh korporat yang berjaya dan benar-benar meminati bola sepak.

Menurut beliau, individu daripada sektor korporat yang mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan serta pelaburan bola sepak mampu membawa perubahan positif kepada badan induk itu.

Katanya, sebelum ini FAM pernah diterajui tokoh daripada pelbagai latar belakang berbeza termasuk ahli politik, kerabat diraja dan individu yang lama berkecimpung dalam pentadbiran bola sepak.

“Kalau kita lihat sejarah, FAM pernah dipimpin tokoh daripada kalangan ahli politik seperti Tunku Abdullah Rahman, Tun Abdullah Razak; kerabat diraja seperti Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah, Sultan Pahang ketika ini iaitu Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Tunku Ismail Sultan Ibrahim serta individu lama dalam persatuan seperti Tan Sri Hamidin Mohd Amin dari Persatuan Bolasepak Selangor dan Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub dari Persatuan Bolasepak Sabah,” katanya.

Sehubungan itu, Zulakbal berpendapat tokoh korporat terkenal, Tan Sri Vincent Tan antara calon terbaik untuk mengemudi FAM berdasarkan pengalaman luas beliau dalam dunia perniagaan.

Beliau berkata, Vincent bukan sahaja dikenali sebagai tokoh korporat yang berjaya membina imej serta keuntungan syarikatnya, malah turut menunjukkan minat mendalam terhadap bola sepak.

Menurutnya, Vincent memiliki beberapa kelab bola sepak di luar negara termasuk Cardiff City FC selain kelab di Belgium iaitu KV Kortrijk serta sebuah kelab di Bosnia, FK Sarajevo.

“Berbekalkan pengalaman yang dimiliki, saya percaya Vincent mampu membawa angin baharu kepada FAM yang ketika ini berdepan pelbagai kontroversi,” katanya.

Selain Vincent, Zulakbal turut berpandangan tokoh korporat lain seperti Tan Sri Tony Fernandes turut boleh dipertimbangkan sebagai calon sesuai untuk menerajui FAM pada masa depan.

Katanya, penglibatan tokoh korporat berpengalaman diyakini mampu memperkukuh tadbir urus serta meningkatkan profesionalisme dalam pentadbiran bola sepak negara.

Jika Vincent atau Tony dilantik, FAM bakal mengikut jejak Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) yang memberi kepercayaan kepada tokoh korporat dan bekas pemilik kelab di Itali, Erick Thohir selain Madam Pang yang juga tokoh perniagaan terkemuka sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Thailand.

Ketika ini, FAM tiada nakhoda selepas semua Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) meletakkan jawatan susulan skandal pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain negara.

Pemilihan Exco baharu dijangka berlangsung pertengahan tahun ini selepas selesai bedah siasat dan penilaian dilaksanakan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi memperbaiki sistem dan urus tadbir badan induk bola sepak tempatan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top