Rodri 'hangus' RM578,000 gara-gara kritik pengadil

Rodri 'hangus' RM578,000 gara-gara kritik pengadil

London: Pemain tengah Rodri dari Manchester City telah didenda £80,000 (RM578,000) dan diberikan amaran oleh Persatuan Bolasepak (FA) berhubung kenyataannya kepada media selepas seri 2-2 menentang Tottenham Hotspur dalam saingan Liga Perdana Inggeris, baru-baru ini.

Rodri, 29, kelihatan marah selepas jaringan Dominic Solanke dibenarkan walaupun penyerang Spurs itu dilihat menendang kaki pertahanan tengah City, Marc Guehi. Insiden itu disemak oleh video bantuan pengadil (VAR), yang memutuskan tiada kesalahan dilakukan.

“Pemain tengah itu didakwa bertindak secara tidak wajar semasa temu bual media selepas perlawanan dengan membuat kenyataan yang menunjukkan bias dan/atau mempersoalkan integriti pegawai perlawanan,” kata kenyataan FA.

Rodri, pemenang Ballon d’Or 2024, mengulas mengenai pengadil Robert Jones selepas perlawanan.

“Saya tahu kami menang terlalu banyak dan orang tidak mahu kami menang, tetapi pengadil mesti bersikap neutral. Ia tidak adil kerana kami berkerja keras,” katanya.

Manchester City kini berada di tangga kedua, ketinggalan tujuh mata di belakang Arsenal dengan satu perlawanan masih berbaki.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top