Hakim Danish ulang kaji litar GP Brazil demi raih mata sulung

Hakim Danish ulang kaji litar GP Brazil demi raih mata sulung

Putrajaya: Pelumba muda negara, Muhammad Hakim Danish Ramli sudah membuat ulang kaji awal Litar Autodromo Antarabangsa Ayrton Senna, Goiania menjelang pusingan kedua Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) Grand Prix (GP) Brazil, musim ini.

Hakim Danish berkata, beliau telah meneliti video bagi memahami karakter litar itu kerana ini adalah kali pertama beliau dan kebanyakan pelumba lain beraksi di litar berkenaan.

“Untuk Brazil ini, litar yang baharu untuk semua orang dan saya pun dah tengok melalui video dekat telefon dan saya belajar daripada situ.

“Saya tengok pun litar agak baik dan saya harapkan dapat catat keputusan yang baik,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa media bersama Kumpulan MKA di sini hari ini.

Dalam pada itu, pelumba berusia 18 tahun itu berkata, fokus utama kini adalah memperbaiki beberapa kelemahan yang dikenal pasti selepas perlumbaan pembuka musim di Thailand.

“Apa yang saya boleh lihat, pada perlumbaan pertama di Thailand, masih banyak lagi ruang yang saya perlu perbaiki, termasuk tunggangan saya dan pelarasan pada motosikal.

“Aspek pelarasan motosikal terutama bahagian casis dan pengendalian ketika membrek menjadi antara perkara yang perlu dipertingkatkan,” katanya.

Pusingan kedua Kejuaraan Motosikal Dunia musim ini dijadualkan berlangsung di Litar Autodromo Antarabangsa Ayrton Senna, Goiania di Brazil dari 20 hingga 22 Mac ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top