Lawatan keluarga penghuni penjara pada Aidilfitri ketiga, keempat

Lawatan keluarga penghuni penjara pada Aidilfitri ketiga, keempat

Kuala Lumpur: Jabatan Penjara Malaysia membenarkan lawatan dan perjumpaan khas keluarga penghuni penjara sempena sambutan Aidilfitri tahun ini pada hari raya ketiga dan keempat.

Jabatan itu dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan kebenaran berkenaan meliputi semua institusi penjara termasuk Pusat Pemulihan Akhlak, Pusat Pemulihan Khas, Tempat Tahanan Khas dan Sekolah Henry Gurney.

Menurut kenyataan itu, lawatan secara bersemuka akan berlangsung dari 8.15 pagi hingga 4.15 petang dan pelawat diminta membawa kad pengenalan serta kad lawatan bagi memudahkan urusan.

“Pelawat juga tidak dibenarkan membawa makanan dan minuman kepada penghuni, sebaliknya ia boleh dibeli di kantin penjara, selain lawatan berkenaan diutamakan kepada penghuni beragama Islam.

“Pelawat tidak digalakkan memberi wang kepada penghuni memandangkan semua kemudahan asas telah disediakan oleh Jabatan Penjara Malaysia, namun bagi urusan tertentu seperti bayaran yuran peperiksaan, pelawat perlu mendapatkan resit rasmi PPT 28 sebagai akuan penerimaan,” katanya.

Menurut kenyataan itu pelawat turut tertakluk kepada Akta dan Peraturan Penjara yang membolehkan pihak penjara melakukan pemeriksaan fizikal ketika masuk dan keluar dari institusi penjara.

Sementara itu, perjumpaan secara dalam talian akan dilaksanakan selama tiga hari bermula 26 hingga 28 Mac bagi memberi peluang kepada keluarga yang tidak dapat hadir ke penjara untuk perjumpaan bersemuka.

Pihak keluarga boleh menghubungi institusi berkenaan untuk maklumat lanjut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top