Acara gaya hidup permotoran terbesar negara, Art of Speed 2026 (AOS 2026), bakal kembali menemui peminat setianya untuk edisi ke-15 yang dijadualkan berlangsung pada 1 dan 2 Ogos depan.
Bertempat di Taman Ekspo Agro Malaysia, Serdang (MAEPS), penganjuran kali ini menjanjikan kelainan apabila Festival SoundCircus yang ‘tidak hadir’ selama dua tahun penganjuran kini kembali dengan skala yang lebih besar.
Menduduki ruang seluas empat ekar dengan enam pentas persembahan, festival muzik tersebut bakal dibanjiri oleh 54 barisan artis dan penghibur dari Malaysia, Indonesia serta antarabangsa.
Antara nama besar yang bakal menggegar pentas termasuklah kumpulan Masdo, Tenxi (Indonesia), serta kolaborasi istimewa Cokelat X Ella yang pasti menjadi tarikan utama pengunjung.
Pengarah Festival Art of Speed Malaysia (AOSM) dan SoundCircus Summer Festival 2026, Asep Ahmad Iskandar berkata, kembalinya SoundCircus adalah untuk memenuhi permintaan komuniti yang merindui tenaga serta suasana unik festival tersebut di AOS.
“Kami mahu jadikan AOS 2026 bukan sekadar pameran automotif, tetapi satu destinasi budaya pop yang lengkap. Dengan adanya enam pentas berbeza, pengunjung boleh menikmati pelbagai genre muzik sambil melihat koleksi kereta dan motosikal kustom terbaik,” jelasnya.
Selain persembahan muzik, AOS 2026 turut mengekalkan acara ikonik seperti pameran ‘Show & Shine’, Konvensyen Rasmi Pemungut Hot Wheels ke-4, pasar streetwear ‘Kulture Kartel’, serta pelbagai aktiviti komuniti permotoran yang lain.
Bagi peminat yang tidak sabar untuk menyaksikan barisan artis kegemaran di SoundCircus Festival 2026, tiket boleh dibeli secara dalam talian menerusi laman sesawang www.bboevents.com.
Manakala bagi maklumat lanjut serta pembelian pas masuk ke pameran Art of Speed 2026 (AOS 2026), orang ramai boleh melayari laman sesawang rasmi www.artofspeedmy.com.




