Dalam banyak urusan hidup, kejayaan sering tidak ditentukan pada permulaan yang gemilang semata-mata, tetapi pada bagaimana seseorang menamatkan usahanya. Ramai orang mampu bermula dengan semangat, namun tidak semua mampu bertahan, memperkemas lalu memecut pada fasa akhir. Dalam bahasa yang mudah, pecutan terakhir ialah saat seseorang mengerah baki tenaga, menyusun fokus, memperbaiki kelemahan dan menutup sesuatu usaha dengan mutu yang lebih baik daripada sebelumnya.
Al-Quran mengangkat nilai masa yang berisi, manakala sunah Nabi SAW menunjukkan penghujung sesuatu amal boleh menjadi penentu nilai yang sangat besar, khususnya dalam 10 malam terakhir Ramadan yang mengandungi peluang memburu lailatulqadar, malam lebih baik daripada seribu bulan.
Dalam kehidupan biasa, kita dapat melihat bahawa fasa akhir sering menjadi saat paling menentukan. Pelajar konsisten mengulang kaji pada minggu akhir selalunya dapat memperkemas kefahaman dan menutup jurang yang masih ada. Penyelidik yang menyemak semula hujah, data dan gaya bahasa pada peringkat akhir penulisan biasanya menghasilkan karya yang lebih kemas dan meyakinkan.
Begitu juga pekerja, usahawan, pendidik dan pendakwah yang membezakan hasil sederhana dengan hasil cemerlang sering terletak pada ketelitian serta kesungguhan di penghujung perjalanan. Kajian kontemporari tentang motivasi menunjukkan manusia cenderung meningkatkan usaha apabila semakin hampir kepada garis penamat, satu corak yang sering dihuraikan melalui idea goal-gradient effect iaitu dorongan bertambah kuat apabila matlamat semakin dekat.
Namun, Islam tidak membiarkan konsep pecutan terakhir sekadar menjadi teknik motivasi duniawi. Islam mengangkatnya menjadi disiplin rohani. Ini dapat difahami melalui keistimewaan 10 malam terakhir Ramadan. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan”. (Surah al-Qadar, ayat 3). Ayat ini bukan sekadar menyatakan kelebihan satu malam, bahkan mendidik orang beriman supaya memahami bahawa pada penghujung sesuatu musim ibadah, terdapat peluang luar biasa yang tidak sewajarnya dilepaskan.
Nabi SAW sendiri tidak mengendur apabila Ramadan masuk ke fasa akhir; sebaliknya lebih bersungguh-sungguh daripada waktu lain. Aisyah RA meriwayatkan apabila masuk 10 malam terakhir, baginda menghidupkan malam, membangunkan keluarga dan memperketat kesungguhan ibadah.
Di sini letaknya hikmah besar. Pecutan terakhir mendidik manusia agar tidak rasa selesa dengan pencapaian awal. Seseorang mungkin telah banyak beramal pada awal Ramadan, tetapi dia belum tentu memperoleh puncak ganjaran jika penghujungnya diabaikan. Sebab itu, ulama memberi perhatian besar kepada penutup sesuatu amal. Dalam perbincangan tentang Ramadan dan lailatulqadar, Ibn Rajab menekankan keistimewaan 10 malam terakhir sebagai ruang ibadah yang perlu dihidupkan dengan qiyam, zikir, bacaan al-Quran dan iktikaf. Nabi Muhammad SAW bukan sekadar menambah ibadah secara peribadi, malah menggerakkan keluarganya agar bersama-sama merebut peluang tersebut. Ertinya, pecutan terakhir bukan tindakan spontan yang kosong, tetapi keputusan sedar untuk menumpukan tenaga pada waktu yang paling bernilai.
Daripada sudut pembinaan peribadi, pecutan terakhir mempunyai beberapa kelebihan yang sangat besar.
Pertama, ia memulihkan kelalaian. Ada orang yang permulaannya lemah, tetapi penghujungnya cemerlang. Islam sentiasa membuka pintu pembaikan. 10 terakhir Ramadan menjadi contoh paling indah bahawa seseorang tidak patut berputus asa hanya kerana awalnya biasa-biasa.
Kedua, pecutan terakhir menajamkan fokus. Pada waktu tenaga dan masa semakin singkat, manusia belajar memilih yang paling utama dan meninggalkan yang kurang penting.
Ketiga, ia membina daya tahan. Orang yang memecut pada penghujung usaha sebenarnya sedang melatih jiwanya untuk melawan lesu, jemu dan rasa puas diri.
Keempat, ia memuliakan penutup amal. Dalam tradisi Islam, kesudahan yang baik sangat bernilai; sebab itu seseorang Mukmin diajar supaya sentiasa menjaga istiqamah dan memohon husn al-khatimah. Dalam konteks Ramadan, penutup yang baik bukan hanya menambah pahala, tetapi boleh mengubah seluruh pengalaman ibadah seseorang menjadi lebih bermakna.
Bagaimanapun, pecutan terakhir yang dipuji bukanlah budaya bertangguh. Islam tidak mengajar kita malas pada awal, kemudian panik pada akhir. Sebaliknya, Islam mengajar kesungguhan yang berterusan, lalu dipertingkat pada fasa penutup. Hal ini selari juga dengan pandangan pakar kontemporari tentang pencapaian manusia: matlamat memang penting untuk memberi arah, tetapi kemajuan sebenar bergantung pada sistem, disiplin dan kebiasaan yang dibina sepanjang perjalanan. Maka pecutan terakhir yang sihat ialah puncak kepada proses yang sudah berjalan, bukan ganti kepada usaha yang telah diabaikan.
Sebab itu 10 malam terakhir Ramadan patut difahami sebagai kemuncak ibadah sebulan, bukan alasan untuk cuai pada 20 hari sebelumnya.
Ramadan mendidik kita bahawa ketika masa makin sedikit, peluang kadang-kadang justeru makin besar. Maka 10 terakhir Ramadan bukan sekadar penutup bulan ibadah, tetapi madrasah tentang bagaimana seorang Mukmin menamatkan perjuangan: dengan hati yang lebih hidup, amal yang lebih jujur dan harapan yang lebih tinggi kepada rahmat Allah SWT.
Penulis Penyelaras Program Khas Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Pusat Pendidikan Universiti Malaya, Bachok, Kelantan
© New Straits Times Press (M) Bhd




