Sumali mahu kebangkitan kuadran negara

Sumali mahu kebangkitan kuadran negara

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Presiden Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan meletakkan harapan tinggi terhadap kebangkitan skuad kuadran negara pada saingan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 yang akan berlangsung di Stadium Titiwangsa pada 12 hingga 24 Mei depan.

Menurut Sumali, walaupun Malaysia dilihat lebih yakin dalam acara regu dan berpasukan, beliau mahu melihat peningkatan prestasi daripada pemain kuadran dengan sasaran sekurang-kurangnya mara ke pentas final.

Katanya, kelebihan beraksi di laman sendiri seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya oleh pemain untuk memberikan cabaran sengit kepada lawan.

“Sebab kita mungkin lebih yakin sedikit dengan acara regu dan berpasukan, tetapi kita betul-betul mahu melihat kebangkitan pemain kuadran kita.

“Bermain di gelanggang sendiri memberi kelebihan kepada mereka dan sebab itu sasaran kita adalah untuk mara ke final bagi acara kuadran,” katanya.

Tambahnya, setakat ini barisan pemain yang dipilih kebanyakannya terdiri daripada pemain baharu dengan beberapa perubahan turut dilakukan dalam susunan pasukan bagi memastikan setiap pemain berada pada posisi yang paling sesuai.

Malah, status Malaysia sebagai tuan rumah turut memberi sedikit kelebihan dari segi pemilihan pemain, namun ia tetap menjadi cabaran buat barisan kejurulatihan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top