Kuala Lumpur: Syarikat keselamatan global, Kaspersky mendedahkan sebanyak 18.8 juta ancaman siber berasaskan web dikesan di Malaysia sepanjang tahun 2025, dengan purata melebihi 51,000 percubaan insiden berniat jahat setiap hari.
Berdasarkan data Kaspersky Security Network, aktiviti melayari laman web bagi mengakses perkhidmatan dalam talian serta memuat turun fail kekal menjadi titik masuk paling utama bagi penjenayah siber.
“Pada 2025, sebanyak 26.7 peratus pengguna di Malaysia berhadapan ancaman bawaan web, sekali gus meletakkan negara pada kedudukan ke-42 dunia bagi pendedahan risiko berkaitan aktiviti melayari internet,” menurut Kaspersky dalam kenyataan.
Ancaman berkenaan biasanya tersebar menerusi laman web yang diceroboh, skrip berniat jahat, pautan palsu atau kelemahan perisian pada pelayar serta pemalam (plugins).
“Dalam sesetengah kes, pengguna mungkin mencetuskan ‘muat turun pandu lalu’ secara tidak sengaja. Kod berniat jahat ini berjalan secara automatik hanya dengan melawat laman web yang dijangkiti tanpa perlu klik atau memasang apa-apa aplikasi secara sengaja,” katanya.
Terdapat juga serangan yang bergantung kepada halaman pancingan data (phishing) atau pautan mengelirukan bagi menyerupai produk atau perkhidmatan sah.
Pengurus Besar Kaspersky bagi ASEAN dan Negara Membangun Asia, Simon Tung berkata, data menunjukkan ancaman berasaskan web kini menjadi ciri tetap dalam aktiviti digital dan bukannya berlaku secara bermusim.
“Kestabilan kadar pendedahan ini tidak seharusnya dianggap sebagai pengurangan risiko. Sebaliknya, ia menggambarkan betapa mendalamnya interaksi dalam talian dalam kehidupan harian. Memandangkan aktiviti melayari web kekal sebagai akses utama ke perkhidmatan digital, perbincangan kini bukan lagi menjurus kepada insiden terpencil, tetapi cara mengurus lapisan risiko siber yang sentiasa wujud,” katanya.
Bagi memastikan keselamatan terjamin, Kaspersky menyarankan pengguna agar sentiasa memerhati tanda amaran pancingan data pada laman web, mesej teks, e-mel dan bentuk komunikasi lain.
Pengguna juga digesa menyemak pautan sebelum klik, membuat salinan sandaran (backup), mengimbas perisian hasad, menggunakan perlindungan siber perniagaan, serta sentiasa mengemas kini perisian dan sistem operasi.
© New Straits Times Press (M) Bhd



