Selamat tinggal Piala Asia 2027

Selamat tinggal Piala Asia 2027

PETALING JAYA: Segala-galanya tampak indah buat Harimau Malaya sebelum ini, namun dalam sekelip mata impian ke Piala Asia 2027 berkecai apabila hukuman Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) meranapkan harapan yang dibina.

Skuad negara yang gah mendahului Kumpulan F dengan kutipan sempurna 15 mata, kini terpaksa akur dengan hakikat pahit apabila dua kemenangan penting dilucutkan susulan kesalahan menurunkan pemain tidak layak.

Pelanggaran Artikel 56 Kod Tatatertib dan Etika AFC itu menyaksikan kemenangan ke atas Nepal dan Vietnam dibatalkan, sebelum digantikan dengan kekalahan 0-3, sekali gus mengubah sepenuhnya kedudukan kumpulan.

Daripada pasukan yang berada di landasan terbaik untuk layak, Malaysia kini jatuh ke tangga kedua dengan hanya sembilan mata, manakala Vietnam melonjak ke puncak dengan 15 mata dan mengesahkan tiket ke Piala Asia 2027.

Lebih memeritkan, baki satu perlawanan menentang Vietnam pada 31 Mac ini tidak lagi membawa sebarang makna besar, malah sekadar perlawanan pelengkap jadual walaupun kemenangan mampu diraih.

Hakikat ini menutup peluang Malaysia untuk mencipta sejarah layak ke Piala Asia buat kali kedua berturut-turut selepas kejayaan manis menamatkan kemarau 42 tahun pada edisi 2023 di Qatar, yang sebelum ini dianggap titik kebangkitan Harimau Malaya di pentas Asia.

Untuk rekod, Malaysia pernah layak secara merit ke Piala Asia pada 1980 selain beraksi di pusingan akhir pada edisi 2007 selaku tuan rumah.-UTUSAN

Scroll to Top