Kuala Lumpur: Seorang penunggang motosikal warga Malaysia ditahan selepas cuba menyeludup lebih 14 kilogram (kg) heroin dan dadah lain ke Singapura, dalam satu daripada dua kes yang berjaya digagalkan di pusat pemeriksaan darat republik itu, minggu ini.
Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA) memaklumkan, lelaki berusia 29 tahun itu ditahan di Pusat Pemeriksaan Tuas pada 17 Mac lalu selepas pegawai mengarahkan motosikal berdaftar Malaysia miliknya diperiksa lanjut.
Dalam satu hantaran Facebook, ICA berkata, pemeriksaan ke atas kenderaan terbabit menemui beberapa bungkusan hitam yang disorok dalam ruang simpanan belakang.
NST Online melaporkan pihak berkuasa kemudian memaklumkan Biro Narkotik Pusat (CNB), yang menemui sejumlah 25 bungkusan dipercayai mengandungi dadah terkawal.
Rampasan itu termasuk kira-kira 14kg heroin, 2.6kg methamphetamine atau syabu serta 190 gram (g) ekstasi. Suspek ditahan dan diserahkan kepada CNB untuk siasatan lanjut.
Dalam kes berasingan sehari sebelumnya, pegawai ICA di Pusat Pemeriksaan Woodlands menahan seorang penumpang dalam kenderaan berdaftar Malaysia untuk pemeriksaan tambahan.
Satu bungkusan yang disyaki mengandungi dadah ditemui disembunyikan di bahagian pinggang berhampiran kelangkang lelaki itu.
Pemeriksaan lanjut oleh CNB turut menemui peralatan berkaitan dadah, manakala kira-kira 81g ganja telah dirampas. Seorang lelaki warga Singapura berusia 29 tahun turut ditahan berkaitan kes terbabit.
© New Straits Times Press (M) Bhd




