'Rumah berusia 50 tahun musnah dalam tempoh kurang 10 minit'

'Rumah berusia 50 tahun musnah dalam tempoh kurang 10 minit'

‎am@hmetro.com.my

‎Kuala Nerus: “Saya terhidu bau hangit, ingat orang bakar sampah, tapi rupa-rupanya rumah terbakar,” kata Muhammad Shafik Ikhwan, 32.‎

Muhammad Shafik memberi reaksi itu ketika menceritakan kejadian kediaman keluarganya terbakar di Kampung Gong Kijang, Bukit Tunggal, di sini, terbakar petang tadi.

Beliau berkata, ketika kejadian dia di dalam rumah bersama ibunya yang berusia 74 tahun, isteri serta dua anak, manakala ahli keluarga lain keluar beraya.

Menurutnya, dia mula menyedari kebakaran selepas terhidu bau asap dari bilik sebelah sebelum api merebak dengan pantas.

Katanya, keadaan cuaca panas dan berangin dipercayai menyebabkan api cepat marak sehingga api sukar dikawal.

“Ketika itu saya terus bertindak menyelamatkan ibu, isteri dan anak-anak tanpa sempat membawa keluar barangan berharga,” katanya.

Muhammad Shafik berkata, rumah berusia kira-kira 50 tahun itu musnah sepenuhnya dalam tempoh kurang 10 minit.

‎Menceritakan detik cemas itu, beliau berkata, dia pada awalnya menyangka bau asap berpunca daripada pembakaran sampah di kawasan belakang rumah.

‎”Ketika itu saya sedang duduk di hadapan televisyen, manakala anak bermain di ruang tamu.

‎”Pada mulanya ingatkan orang bakar sampah, tetapi selepas beberapa ketika bau semakin kuat dan berbeza.

‎”Saya kemudian buka pintu dan nampak api sudah marak sebelum kami semua terus lari menyelamatkan emak serta anak-anak,” katanya.

‎Menurutnya, dia tinggal bersama dua lagi keluarga adik beradiknya membabitkan dan ketika kejadian semua tiada di rumah kerana keluar berhari raya.

Dalam kejadian jam 4.25 petang itu, seramai 11 mangsa daripada tiga keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas hampir keseluruhan harta benda mereka musnah dijilat api.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top