DI sebalik gencatan senjata yang rapuh di Genting Gaza, semangat Syawal tidak terpadam walaupun dalam suasana suram.Penduduk Palestin tetap mendirikan solat sunat Aidilfitri di tapak runtuhan masjid yang musnah dibedil Zionis sejak lebih dua tahun lalu.Meskipun penderitaan mereka tiada noktah, penduduk Palestin masih mengadakan sambutan secara sederhana termasuk kanak-kanak mengenakan pakaian baharu berwarna-warni selain sahabat handai mengambil swafoto bersama.Ketika ini, hanya satu lintasan sempadan dibuka separa untuk membenarkan akses penghantaran bantuan ke Gaza.Dianggarkan, hanya 200 trak memasuki wilayah itu pada setiap hari sejak Perang Iran bersama Amerika Syarikat (AS) dan Israel tercetus pada 28 Februari lalu.Angka itu jauh lebih rendah berbanding 600 trak yang diperlukan untuk menampung keperluan kira-kira dua juta penduduk Palestin yang kini terpaksa bergantung kepada bantuan bagi meneruskan hidup.Kebanyakan keluarga cuba untuk menghidupkan semula suasana lebaran yang meriah walaupun hanya dengan menghias khemah seadanya.Kunjungan ke rumah sanak saudara telah digantikan dengan pertemuan di hadapan khemah di mana penduduk Gaza saling bertukar ucapan dengan hati yang bercampur-baur diselubungi kesedihan atas kehilangan insan tersayang.Bagi Suhair Hamid yang mendiami ‘bandar khemah’ di tengah Gaza, tiada apa yang istimewa pada lebaran kali ini.”Keadaan telah berubah sama sekali. Dulu, kami buat biskut, beli pakaian baharu dan menziarahi antara satu sama lain. Kini, kami hanya mahu pastikan anak-anak tidak berasa kekurangan akibat peperangan ini.”Saya belikan anak perempuan saya baju yang ringkas dan hias khemah kami hanya untuk melihat senyuman terukir pada wajahnya,” katanya dalam nada sayu.Sebahagian besar kanak-kanak di Gaza cuba mencari kegembiraan sendiri dengan bermain bersama teman-teman seusia di tengah-tengah runtuhan struktur yang menyembah bumi.Cuba hidupkan keceriaanIbu kepada tujuh anak, Samira, 60, juga berusaha mengembalikan suasana Aidilfitri ketika sebelum perang meletus.Dia tekun menguli doh dibantu anak perempuannya yang membuat inti menggunakan campuran pes kurma dengan bijan.Proses membakar agak mencabar berikutan mereka berdepan kekurangan gas memasak.Menurutnya, persiapan kali ini turut melibatkan tempahan pelanggan dan jiran sekitar yang akan menjadi sumber pendapatan tambahan buat keluarganya.”Alhamdulillah, kami menerima banyak pesanan meskipun kos bahan agak tinggi. Ramai penduduk Gaza rindu untuk kembali merasai kemeriahan Aidilfitri seperti dahulu,” katanya sambil menambah penutupan lintasan sempadan selepas AS bersama Israel menyerang Iran telah menyebabkan lonjakan harga barang seperti tepung, pes kurma dan gula.Samira dalam nada kesal menyatakan, kegembiraan di Gaza sentiasa ‘dirosakkan’ oleh konflik lain di Asia Barat.”Ia tidak pernah reda kerana kami akan terpalit sama,” ujarnya.Sebelum perang ganas itu bermula, Samira menjalankan perniagaan dari rumah dan menerima tempahan daripada pelanggan menerusi media sosial.”Ketika itu, permintaan agak tinggi dan saya dapat menyara keluarga. Saya mempunyai peralatan memasak yang mencukupi. Namun, segala-galanya musnah akibat peperangan tersebut.”Kami terpaksa bermula dari kosong tanpa sebarang perkakas dapur sementara harga bahan mentah kian melambung. Kami berharap keadaan akan bertambah baik pada Syawal kali ini. Kami sudah terlalu lelah dengan penderitaan ini,” tambahnya lagi.



