am@hmetro.com.my
Kuantan: Penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang didakwa mencemarkan al-Quran dan melakukan hantaran komunikasi jelik melampau di media sosial dikenakan tindakan buang universiti.
Naib Canselor UMPSA, Prof Dr Yatimah Alia berkata, tindakan itu diambil Jawatankuasa Tatatertib Pelajar UMPSA telah bersidang pada 9 Mac lalu yang mendapati penuntut lelaki berkenaan bersalah.
“Berdasarkan tindakan tatatertib, pelajar itu didapati bersalah dan dikenakan hukuman dibuang daripada universiti mengikut Kaedah 58 Kaedah-kaedah Universiti Dan Kolej Universiti (UMPSA) (Tatatertib pelajar) 2024” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru, beliau mengharapkan keputusan itu menjadi pengajaran kepada warga universiti sama ada penuntut atau staf supaya lebih berhati-hati dalam semua perbuatan atau tindakan agar tidak mencemar nama baik universiti.
“UMPSA bertegas tidak akan berkompromi dengan penyebaran kandungan yang menghasut kebencian mengaitkan 3R sehingga mencetuskan ketegangan kaum dan menggugat keharmonian awam di negara ini,” katanya.
Pada 3 Mac lalu, pelajar terbabit didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan mencemarkan al-Quran dan melakukan hantaran komunikasi jelik melampau di media sosial bulan lalu.
Bagaimanapun, KS Vikneswaran, 21 mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan terbabit.
© New Straits Times Press (M) Bhd




