JSJN sokong larangan jual vape, banteras salah guna dadah

JSJN sokong larangan jual vape, banteras salah guna dadah

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) akan sentiasa menyokong penuh cadangan berhubung larangan penjualan vape di peringkat negeri sebagai salah satu langkah penting membanteras penyalahgunaan dadah yang kini semakin menular melalui peranti elektronik ini.

Pengarah JSJN, Datuk Hussein Omar Khan berkata, malah, JSJN turut menyokong cadangan supaya penjualan vape diharamkan secara menyeluruh di seluruh negara sebagai langkah proaktif dan tegas bagi mengekang penggunaan vape yang mengandungi dadah, khususnya dalam kalangan golongan muda dan belia yang menjadi sasaran utama sindiket.

Menurutnya, dalam konteks ini, usaha penguatkuasaan perlu disokong dengan pendekatan kesedaran dan pendidikan, khususnya kepada golongan belia, agar mereka memahami bahawa penggunaan vape bukan sahaja berisiko kepada kesihatan, malah disalahgunakan sebagai medium baharu untuk pengambilan dadah secara terselindung.

“Kesedaran awal ini amat penting bagi mengelakkan generasi muda terjebak dalam kitaran penagihan dan jenayah dadah.

“Seiring dengan itu, kerjasama masyarakat amat diperlukan, terutamanya ibu bapa, pendidik dan komuniti setempat, dalam menyalurkan maklumat berkaitan sebarang kegiatan penjualan atau pengedaran vape yang disyaki mengandungi dadah,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, seperti yang telah dimaklumkan, pihak kerajaan juga sedang giat memperkemas mekanisme kawal selia produk vape.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang dalam perancangan untuk mengharamkan sepenuhnya penjualan dan penggunaan vape menjelang pertengahan tahun 2026.

“Dalam masa yang sama, pihak polis akan terus memantau aktiviti penjualan vape mengandungi dadah, termasuk yang dijalankan secara dalam talian,” katanya.

Katanya, ini membuktikan bahawa usaha kawalan kini bukan sahaja tertumpu kepada pemantauan fizikal, malah turut merangkumi ruang digital secara menyeluruh, demi melindungi keselamatan dan masa depan generasi muda negara.

Media sebelum ini melaporkan KKM menyasarkan untuk melaksanakan pengharaman vape bermula dengan jenis sistem terbuka, tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dalam penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top