PM Anwar tegur pihak berpengaruh, jangan campur siasatan PDRM kes berprofil tinggi

PM Anwar tegur pihak berpengaruh, jangan campur siasatan PDRM kes berprofil tinggi

Golongan berpengaruh diberi amaran supaya tidak campur tangan dalam urusan Polis Diraja Malaysia (Polis Diraja Malaysia) ketika melaksanakan sebarang tindakan undang-undang, terutama membabitkan kes berprofil tinggi dan jenayah berskala besar.

Jangn halang tindakan PDRM

Memetik laporan daripada Buletin TV3, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan tindakan itu akan menjejaskan siasatan, sekali gus menyulitkan pihak berkuasa menjalankan tugas mereka.

“Jangan ada campur tangan menghalang tindakan PDRM dan agensi penguatkuasaan. Kadang-kadang (pihak) yang melindungi itu orang berpengaruh dan ini menyukarkan kerja PDRM.
“Saya beri arahan sangat jelas. Jika benar mahu bertindak, kita juga perlu beri nasihat kepada semua yang lain supaya jangan sesekali menghalang (tugas pihak berkuasa),” katanya.

Hargai keberanian PDRM

Dalam pada masa yang sama, Anwar turut menghargai keberanian PDRM selepas dilihat lebih agresif menumpaskan sindiket dan golongan perasuah yang sebelum ini seolah-olah ‘kebal’ daripada tindakan undang-undang.

“Syukur kerana saya lihat ada ketegasan dan keberanian untuk bertindak, bukan saja kepada perasuah kecil, tetapi perasuah besar yang bermaharajalela selama puluhan tahun tetapi tidak pernah berani disentuh.
“Sindiket besar ini sudah lama terpendam dalam sistem kita dan saya ucap tahniah kerana (PDRM) berjaya mematahkannya hasil profesionalisme, tekad dan keberanian,” katanya.

Undang-undang mesti adil

Beliau berkata, kerajaan menerusi kerangka MADANI komited memastikan undang-undang tidak lagi dirangka atau dilaksanakan hanya untuk memihak kepada kelompok tertentu yang mempunyai kuasa dan harta.

“Undang-undang ini mesti dilihat adil, tidak boleh dirangka untuk memihak kelompok tertentu yang biasanya golongan berkuasa dan memiliki harta kerana mereka boleh mempengaruhi sistem dan perundangan.
“Undang-undang ini mesti diasaskan kepada prinsip keadilan kerana ia akan memberikan kesan sebaliknya jika ditadbir atau digubal secara tidak adil.
“Sebab inilah reformasi undang-undang penting terutama bagi meningkatkan martabat negara, sekali gus meningkatkan keyakinan rakyat,” katanya.

Ujarnya, PDRM perlu terus meningkatkan tahap profesionalisme dan integriti sebagai prasyarat utama dalam memacu transformasi negara.

“Tugas kita adalah memperingati jasa dan khidmat, selain meletakkan garis panduan dan hala tuju baharu untuk meningkatkan tahap profesionalisme serta integriti pasukan polis. Pembaharuan atau reformasi bermula dengan prasyarat keamanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-219 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; dan Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh. Hadir sama, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.

Sumber: Buletin TV3 (Muhammad Yusri Muzamir dan Ilah Hafiz Aziz)

Scroll to Top