am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon, Zara Zya, menitipkan pesanan mendalam buat orang ramai agar berhenti mempertikaikan perjalanan hidup serta rezeki yang telah ditetapkan buat setiap individu.
Menerusi hantarannya di Threads, Zara atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin, 41, menegaskan bahawa status pekerjaan, jenis kediaman, mahupun soal jodoh dan zuriat seseorang bukanlah perkara yang wajar dipersoalkan oleh pihak luar.
“Jangan pernah pertikaikan perjalanan hidup seseorang. Dia kerja apa, duduk rumah apa, tak kahwin lagi ke, tak ada anak lagi ke. Jangan pernah persoalkan,” tulisnya.
Menurut pelakon drama Kerana Anisa itu, persepsi negatif terhadap masa depan seseorang boleh berubah memandangkan putaran hidup manusia tidak mampu diramal oleh sesiapa.
“Mungkin hari ini kita nampak dia macam tak ada masa depan. Tapi kita tak tahu mungkin masa akan datang, dia yang tolong kita,” tulisnya lagi.
Dalam pada itu, Zara turut mengingatkan orang ramai agar tidak sesekali merendah-rendahkan rezeki milik orang lain kerana setiap manusia mempunyai garis masa dan ujian yang berbeza.
“Sebab kisah rezeki setiap orang tak akan pernah sama. Tiada kehidupan yang sempurna, ‘struggle’ kita semua adalah berbeza,” kongsinya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




