norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tindakan pelakon, Ainina Ahmad B, 56, yang terus mengekalkan hubungan baik dengan bekas suami, Rahmad Mega, 57, demi anak mendapat perhatian positif serta pujian daripada wargamaya, baru-baru ini.
Terdahulu, Ainina memuat naik video Rahmad atau nama sebenar, Rahmad Tohak di Instagram (IG) miliknya yang memaparkan lelaki itu membersihkan kubur anak bongsu mereka, Allahyarham Nur Ara Elisya, 16.
Ainina menerusi kapsyen ditulis mengucapkan terima kasih kepada Rahmad kerana masih mengambil tahu dan menjalankan tanggungjawabnya kepada ‘anak syurga’ itu yang meninggal dunia pada 22 Jun tahun lalu.
“Terima kasih Rahmad. Dari Elisya kecil sampai dia sudah tiada, awak masih ambil tahu tentang dia. Semoga rezeki awak sentiasa bertambah.
“Bukan masa nak raya saja dia bersihkan. Tetapi setiap kali ke Kuala Lumpur, dia akan singgah kubur Elisya, alhamdulillah,” tulisnya pada hantaran video berkenaan.
Menurut Ainina, meskipun sudah bercerai dan membawa haluan kehidupan masing-masing, tanggungjawab kepada anak-anak tetap diutamakan.
“Berpisah tidak bererti bergaduh. Setiap yang bercerai mesti tahu tanggungjawab masing-masing. Tidak perlulah bergaduh sebab itu akan tunjuk contoh yang tidak baik untuk anak-anak.
“Tidak payah gaduh-gaduh. Kita berkawan untuk anak-anak, itu lagi baik,” katanya.
Pada ruangan komen, rata-rata netizen bersetuju dengan pendapat Ainina dan menyifatkan Allahyarham Nur Ara Elisya adalah anak bertuah kerana mendapat kasih sayang ibu bapa yang bercerai.
“Minat Rahmad sebab menyanyi. Minat Rahmad sebab bertanggungjawab,” tulis warganet.
“Alhamdulillah, baguslah. Kasih sayang ayah dan ibu tidak akan terpisah walaupun mereka sudah berpisah,” kata seorang netizen.
“Allahuakbar, berkawan selamanya untuk anak-anak. Insya-Allah anak akan ikut yang baik-baik,” ujar pengguna media sosial.
“Tidak rugi pun berbaik-baik. Semoga Allah kurniakan yang baik pada Ainina dan Rahmad,” komen seorang warga maya.
Ainina pernah mendirikan rumah tangga dengan Rahmad dan mereka dikurniakan dua anak perempuan. Pasangan ini kemudian sah bercerai pada 2011. Selain Allahyarham Nur Ara Elisya, seorang lagi anak mereka ialah Nur Arieana.
© New Straits Times Press (M) Bhd




