
Skuad Harimau Malaya tekad mahu meraih kemenangan ke atas Vietnam Selasa ini. Foto: Malaysia NT
TONGGAK pertahanan Harimau Malaya, Feroz Baharudin menyifatkan aksi terakhir Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam di Stadium Thien Truong Selasa ini sebagai misi mempertahankan maruah negara.
Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu menegaskan bahawa pasukan perlu mempamerkan aksi terbaik bagi memastikan Malaysia menutup kempen dengan keputusan positif walaupun sudah tidak layak ke kejohanan bola sepak terbesar Asia itu.
“Saya rasa ini adalah satu maruah untuk negara dan perlu diberi perhatian serius. Kami perlu melakukan yang terbaik pada perlawanan menentang Vietnam nanti.
“Jika diberi peluang turun beraksi, saya nekad untuk membuktikan kemampuan saya kepada jurulatih dan rakyat Malaysia. Kami akan buat yang terbaik demi menjaga maruah negara,” katanya.
Terdahulu, impian Malaysia untuk layak ke pentas Piala Asia buat kali kedua berturut-turut secara merit berkecai selepas Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) membatalkan dua kemenangan Harimau Malaya ketika bertemu Nepal dan Vietnam.
Hukuman itu dikenakan susulan tindakan menurunkan pemain yang tidak layak dalam perlawanan berkenaan sekali gus menyaksikan Vietnam mengambil alih kedudukan pertama Kumpulan F dan mengesahkan slot ke Piala Asia 2027.
Dalam pada itu, perlawanan ini turut membawa makna besar buat Feroz secara peribadi selepas dia terpaksa berehat panjang akibat kecederaan ligamen lutut (ACL) yang dialaminya pada tahun lalu.
Menurut Feroz, dia sangat menghargai panggilan skuad kebangsaan kali ini selepas hampir setahun tidak beraksi di pentas antarabangsa.
“Panggilan ini sangat bermakna untuk diri saya. Selepas hampir setahun tidak bermain, ini adalah peluang terbaik untuk saya membuktikan prestasi saya kepada jurulatih.
“Bukan mudah untuk saya sampai ke tahap sekarang selepas melalui tempoh pemulihan yang panjang. Saya perlu lebih berhati-hati dan memastikan persediaan lebih rapi, terutamanya aspek memanaskan badan yang lebih konsisten sebelum bermulanya perlawanan,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Feroz Baharudin anggap perlawanan menentang Vietnam sebagai misi pertahankan maruah Malaysia.
- Walaupun Malaysia tidak layak ke Piala Asia 2027, pasukan harus pamer aksi terbaik bagi penutup kempen.
- AFC batalkan dua kemenangan Harimau Malaya kerana turunkan pemain tidak layak.
- Feroz kembali selepas rehat panjang akibat kecederaan ligamen lutut.
- Panggilan skuad kebangsaan amat bermakna setelah hampir setahun tidak beraksi.



