London: Atlet Britain, Josh Kerr akan cuba memecahkan rekod dunia acara satu batu (1.6 kilometer) milik Hicham El Guerrouj yang sudah bertahan selama 27 tahun pada kejohanan Liga Berlian London, 18 Julai ini.
Atlet berusia 28 tahun itu memiliki catatan peribadi 3 minit 45.34 saat (s) bagi acara berkenaan, sekali gus rekod kebangsaan Britain dan berada di tangga keenam terbaik sepanjang zaman.
Legenda Maghribi, El Guerrouj masih memegang rekod dunia dengan catatan 3:43.13s yang dilakukan pada 1999.
Pemenang dua pingat Olimpik bagi acara 1,500 meter (m) itu, Kerr baru meraih gelaran dunia ketiganya selepas memenangi emas 3,000m dalam dewan di Poland minggu lalu.
“Ia adalah sasaran besar dalam karier saya. Ini antara rekod dunia paling lama dalam olahraga dan saya rasa ia antara yang paling penting.
“Ia sesuatu yang saya yakin untuk kejar. Ini masa yang sangat mengujakan,” kata Kerr.
Kerr akan mengharungi cabaran itu sebelum memburu emas di laman sendiri pada Sukan Komanwel di Glasgow.
“Sukan ini perlukan detik istimewa. Menetapkan sasaran dan jelas dengan apa yang mahu dicapai adalah penting untuk menghormati rekod ini.
“Melakukannya di hadapan penyokong Britain akan menjadikannya sangat istimewa. Ia bukan mudah, tetapi saya percaya mampu mencapainya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



