Aidil sedia bawa Kuching City ke tahap lebih tinggi

Aidil sedia bawa Kuching City ke tahap lebih tinggi

sukan@hmetro.com.my

Kuching: Ketua jurulatih Aidil Sharin Sahak bersedia meneruskan khidmat bersama Kuching City dengan tekad mengangkat prestasi skuad The Cats ke tahap lebih tinggi.

Pengendali kelahiran Singapura itu berkata, perbincangan bersama pengurusan kelab berjalan lancar dan beliau berharap segala urusan dapat dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Menurutnya, selepas dua tahun membentuk pasukan, perkembangan positif yang ditunjukkan ketika ini adalah hasil usaha kolektif semua pihak.

“Sejujurnya saya sayang negara ini, orangnya dan penyokong. Selama dua tahun saya bangunkan pasukan ini dan kita boleh lihat sendiri peningkatan yang berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas aksi persahabatan menentang Hougang United di Stadium Negeri Sarawak, malam tadi yang menyaksikan tuan rumah menang 2-1.

Aidil turut memasang impian membawa Kuching City ke pentas lebih besar termasuk pertandingan peringkat Asia seperti Liga Juara-Juara Asia Elit atau Liga Juara-Juara Asia2, selari dengan pengalaman serta pencapaiannya bersama pasukan lain sebelum ini.

Pengerusi Kuching City, Fazzrudin Abdul Rahman sebelum ini memaklumkan kelab itu berhasrat mengekalkan Aidil bagi menghadapi kempen musim 2026-27.

Perkembangan itu dijangka menamatkan spekulasi berhubung masa depan jurulatih itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top