Pelajar digalakkan membawa air minuman ke sekolah

Pelajar digalakkan membawa air minuman ke sekolah

am@hmetro.com.my

Kuala Nerus: Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) menggalakkan murid dan pelajar sekolah di negeri itu untuk membawa bekalan air minuman secukupnya bagi menghadapi situasi musim panas.

Pengarah JPNT Kamsah @ Kamal Mohamed berkata, dalam masa sama pihaknya juga memberi peringatan kepada pengetua dan guru besar supaya sentiasa memberi pesanan kepada pelajar sebolehnya membawa air minuman terutamanya air masak ke sekolah.

Menurutnya, pemantauan pihaknya hari ini juga mendapati pelajar membawa air minuman dan paling penting kami mahu pastikan pelajar di negeri ini cukup air minuman.

Katanya, pihak sekolah juga terutamanya sekolah berasrama juga diminta supaya menyediakan minuman yang cukup kepada pelajar mereka.

“Kita sudah berbincang dengan pihak dewan makan dan sebagainya dan kita percaya semua sekolah pun sudah ada sediakan seperti mesin penapis air dan sebagainya.

“Ia bagi memudahkan pelajar untuk mengambil air sepanjang masa dalam tempoh 24 jam terutama di sekolah-sekolah berasrama,” katanya ketika membuat tinjauan di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Tumbuh, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai persiapan menghadapi cuaca panas, beliau berkata, JPNT sentiasa berada dalam keadaan siap siaga dalam menghadapi keadaan cuaca panas.

“JPNT juga mengambil langkah awal terutamanya pada minggu terakhir pada bulan Ramadan lalu dengan memberi peringatan kepada semua pengetua, guru besar di kesemua 507 sekolah membabitkan lebih 300,000 pelajar di negeri itu mengenai persediaan menghadapi cuaca panas.

“Selain itu, JPNT setiap pagi dan petang pada setiap hari berhubung dengan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan Kementerian Kesihatan (KKM) khususnya Jabatan Kesihatan untuk mendapatkan maklumat terbaru mengenai status keadaan cuaca dan juga nasihat kepada pihak sekolah sekiranya ada simptom dan ciri-ciri ke arah strok haba,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga sentiasa berhubung dengan ibu bapa selain selain menyampaikan mesej dalam bentuk video AI.

“Saya lihat penyampai maklumat melalui kaedah AI ini begitu cepat untuk disampaikan kepada ibu bapa betapa perlunya menyediakan keperluan berkaitan dengan air minuman dan sebagainya kepada anak masing-masing,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top